KUALA LUMPUR 19 Sept - Ketidaktentuan pelaksanaan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dijangka menjejaskan lagi sentimen pengguna pada tahun hadapan di tengah-tengah kebimbangan kenaikan inflasi dan kadar faedah.
Penganalisis AmInvestment Bank Research, Muhammad Afif Zulkaplly berkata, kebimbangan berlakunya kemelesetan global mungkin merebak ke pasaran domestik apabila pengguna mengurangkan perbelanjaan, dan bersiap sedia menghadapi tempoh terburuk.
Katanya, kesannya semakin meningkat dengan inflasi secara meluas yang berterusan dan kenaikan kadar faedah yang akan mengehadkan perbelanjaan pengguna.
"Ia masih kekal tidak menentu sama ada rejim cukai akan dikekalkan tetapi sebarang petunjuk yang akan memperkenalkan semula GST akan terus memberi tekanan kepada sentimen.
"Tetapi, jika cukai ini dilaksanakan semula, kami jangkakan pengguna akan mengurangkan pembelian berkaitan peralatan elektrik dan komunikasi, sebaliknya barangan makanan paling kurang terjejas," katanya dalam nota kajian hari ini.
Ketika GST kali pertama dilaksanakan pada 2015, perbelanjaan pengguna terhadap beberapa barangan menurun dan ia mengambil masa enam hingga sembilan bulan untuk kembali pulih.
Ini juga disokong oleh Indeks Sentimen Pengguna Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) yang menjunam pada suku keempat 2014 sejurus selepas pelaksanaan GST diumumkan semasa pembentangan Bajet 2015.
Pada Jun lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan berpendapat sebarang sistem percukaian baharu, termasuk cadangan pengenalan semula GST tidak mungkin dapat dilaksanakan pada tahun ini.
Menurutnya, kerajaan perlu memastikan pemulihan ekonomi pasca COVID-19 berada di landasan yang stabil dan kukuh.
Bagaimanapun, Muhammad Afif berkata, perbelanjaan pengguna secara amnya dapat bertahan sehingga akhir tahun ini kerana sentimen yang menggembirakan terhadap pembukaan semula ekonomi berkemungkinan kekal utuh ditambah pula dengan 'gula-gula' menjelang pilihan raya umum (PRU).
"Kerajaan baru-baru ini mengumumkan kenaikan khas kepada penjawat awam dan kami menjangkakan lebih banyak pengumuman akan dibuat sehingga hari pengundian.
"Dengan menjangkakan penggal penuh, Parlimen semasa ditetapkan untuk dibubarkan selewat-lewatnya pada Jun 2023," jelasnya.
Secara keseluruhan, AmInvestment mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap segmen pengguna memandangkan kebanyakan syarikat di bawah liputannya melaporkan prestasi kewangan yang memenuhi jangkaannya pada suku kedua 2022.
Prestasi positif ini disebabkan pelarasan harga dan inisiatif pengurusan kos yang dilaksanakan oleh pemain industri membantu mengimbangi kesan kos yang lebih tinggi. - DagangNews.com