Cadangan penggabungan bersama Aetherium Acquisition antara strategi Capital A keluar daripada status PN17 - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Cadangan penggabungan bersama Aetherium Acquisition antara strategi Capital A keluar daripada status PN17 - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Nov - Cadangan penggabungan perniagaan bersama Aetherium Acquisition Corp merupakan antara strategi Capital A Berhad bagi mengeluarkannya daripada status Nota Amalan 17 (PN17).

 

Katanya, ia juga memberi laluan kepada kumpulan dalam membuka nilai jenama AirAsia selain memberi pendedahan kepada pasaran modal Amerika Syarikat (AS) melalui Nasdaq, yang umumnya diketahui lebih mudah menerima usaha kewangan seperti ini.

 

Impak yang dijangkakan daripada cadangan penggabungan itu akan didedahkan dalam pengumuman terperinci apabila Perjanjian Definitif ditandatangani pada suku pertama 2024.

 

"Selepas cadangan itu dimuktamadkan, jangkaan keuntungan pro forma daripada penggabungan itu seharusnya meningkatkan ekuiti pemegang saham kumpulan.

 

"Selain itu, selepas penggabungan selesai, kumpulan itu akan mempunyai peluang penyertaan tidak langsung dalam keuntungan perniagaan yang dilupuskan melalui pemilikan saham dan sekuriti pertimbangan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Capital A meterai Surat Hasrat gabung perniagaan bersama syarikat tersenarai NASDAQ, Aetherium Acquisition Corp bernilai AS$1 bilion

 

Terdahulu, penggabungan perniagaan yang dicadangkan akan berdasarkan nilai ekuiti yang disyorkan sebanyak AS$1 bilion berdasarkan penilaian bebas terhadap jenama AirAsia.

 

Kombinasi perniagaan yang dicadangkan ini akan menghasilkan penubuhan Capital A International, sebuah syarikat pembangunan pelaburan dan strategik baharu yang memanfaatkan jenama "AirAsia" dan memanfaatkan keupayaan asas dalam bidang penerbangan, perjalanan dan hospitaliti, serta teknologi digital, menjadi syarikat tersenarai awam yang berdiri sendiri di Amerika Syarikat.

 

Pelaksanaan cadangan itu bergantung kepada kelulusan lembaga pengarah dan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM), di samping mendapatkan kelulusan yang diperlukan daripada Bursa Securities bagi kumpulan melaksanakan cadangan pelan penyusunan semula antara lain.

 

MIDF Research mengekalkan saranan 'neutral' terhadap kumpulan itu dengan harga sasaran (TP) 90 sen sesaham. - DagangNews.com