Cagamas lancar Skim Saraan Bercagar bantu warga emas dengan dana RM100 juta | DagangNews Skip to main content

Cagamas lancar Skim Saraan Bercagar bantu warga emas dengan dana RM100 juta

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika melancarkan Skim Saraan Bercagar hari ini.

 

 


KUALA LUMPUR 14 Dis - Cagamas Bhd., Perbadanan Gadai Janji Nasional memperkenalkan produk pembiayaan bagi pesara yang pertama seumpamanya di pasaran, Skim Saraan Bercagar (SSB) untuk membantu membiayai persaraan warga emas dengan dana RM100 juta.

 

SSB membolehkan pesara berusia 55 tahun dan ke atas, untuk mencagarkan rumah kediaman mereka bagi mendapat pendapatan bulanan secara tetap sepanjang hayat bagi membantu pembiayaan persaraan mereka.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, skim tersebut adalah sebahagian daripada usaha luas kerajaan untuk menyediakan pelan persaraan teguh yang membolehkan warga emas terus menjalani kehidupan yang produktif.

 

Katanya, dalam konteks ini, Kementerian Kewangan akan menggubal dasar dan pembaharuan struktur yang bersesuaian untuk memastikan penduduk yang berusia dapat berdikari, dan untuk membangunkan masyarakat yang lebih terangkum. 

 

"Malah, Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) telah diaktifkan semula dan kini aktif menganalisis pelbagai pilihan untuk menggubal dasar kesejahteraan sosial yang menyeluruh dan bersepadu.

 

"Kita mesti sedar bahawa penduduk yang berusia dan sihat juga boleh mengambil bahagian dan menyumbang kepada pertumbuhan negara yang mampan dan produktif," katanya ketika berucap melancarkan SBB hari ini.

 

SSB akan mula ditawarkan di Lembah Klang bermula pada pertengahan Januari 2022.

 

Skim itu juga dikenali sebagai gadai janji berbalik, juga terdapat di Korea, Hong Kong, Jepun, Australia, Kanada dan Amerika Syarikat.

 

Bagi mengukuhkan lagi usaha kerajaan dalam menyokong inisiatif sektor swasta seperti SSB ini yang mungkin memerlukan duti stem ad valorem dijelaskan bagi membolehkan transaksi produk dilaksanakan, sebagai produk baharu yang diperkenalkan di Malaysia.

 

Ini menyaksikan Tengku Zafrul mengumumkan pengecualian duti stem ke atas dokumen transaksi yang dilaksanakan oleh pihakpihak yang terlibat bagi mengurangkan beban kewangan kepada pemohon yang berpotensi. 

 

Pengecualian ini, sah laku bagi tempoh 2 tahun pertama selepas pelancaran skim ini, akan membantu mengurangkan kos bagi pesara Malaysia.


 

cagamas

 


Sementara itu, Pengerusi Cagamas, Datuk Bakarudin Ishak berkata, SSB merupakan satu lagi usaha Cagamas dalam menangani jurang kewangan di pasaran. 

 

Katanya, sebagai penyelesaian yang menyeluruh dan bersepadu, SSB bertujuan untuk membantu warga emas menangani cabaran kekangan sumber pendapatan semasa persaraan dan menambah baik tahap kehidupan mereka.

 

“Dalam merangka SSB, kami telah mengambil kira pengalaman dan pengajaran dari Korea dan Hong Kong, untuk membentuk ciri-ciri produk yang bersesuaian dengan negara ini bagi membantu pesara tempatan.

 

"SSB akan membantu warga emas mencairkan nilai aset tersimpan rumah mereka dengan cara yang selamat dan diyakini untuk menerima pembayaran tunai bulanan tetap sepanjang hayat mereka," jelasnya.

 

Cagamas juga telah mengambil pendekatan secara kolaboratif dengan rakan strategiknya, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Agensi Kaunseling dan Pendidikan Kewangan (AKPK), dalam menuju satu matlamat bersama iaitu meningkatkan akses pembiayaan kepada golongan tua.

 

SSB boleh diakses dengan mudah menerusi KWSP manakala AKPK akan menyediakan pendidikan kewangan kepada para pemohon.


 

zafrul

 


Kerjasama 3 organisasi ini menyaksikan Cagamas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan KWSP dan AKPK.

 

Memorandum tersebut ditandatangani oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas, Datuk Chung Chee Leong; Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, dan Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir.

 

Majlis tersebut disaksikan oleh Tengku Zafrul bersama Bakarudin dan Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir; Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Syed Zaid Albar dan Penolong Gabenor, Bank Negara Malaysia, Adnan Zaylani Mohamad Zahid. - DagangNews.com