KUALA LUMPUR 8 Ogos - Cagamas Berhad, Perbadanan Gadai Janji Nasional telah berjaya menetapkan harga bon dan sukuk bernilai RM1.11 bilion.
Menurut Cagamas,a bon dan sukuk itu terdiri daripada Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) 1 tahun RM25 juta, Nota Jangka Sederhana Konvensional 1 tahun (CMTN) RM85 juta, Sukuk SRI Sosial ASEAN 2 tahun RM285 juta, IMTN 2 tahun RM115 juta, Bon Sosial ASEAN (Bon Sosial) 2 tahun RM110 juta, IMTN 3 tahun RM100 juta dan CMTN 3 tahun RM390 juta.
Syarikat itu berkata hasil daripada terbitan itu akan digunakan untuk membiayai pembelian aset yang layak daripada sistem kewangan.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas, Datuk Chung Chee Leong berkata terbitan itu, termasuk Sukuk SRI Sosial dan Bon Sosial, menunjukkan usaha berterusan syarikat untuk memudahkan kelas aset mampan yang muncul dan menggalakkan pertumbuhan ekosistem pasaran yang mampan.
“Syarikat berjaya menetapkan harga Sukuk SRI Sosial dan Bon Sosial 2 tahunnya pada 2 mata asas lebih rendah daripada IMTN 2 tahun, merekodkan sebaran kompetitif 39 hingga 45 mata asas di atas Sekuriti Kerajaan Malaysia/Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia bagi keseluruhan terbitan.
“Sukuk SRI Sosial dan Bon Sosial untuk rumah mampu milik diberi penarafan Manfaat Sosial tertinggi Tahap-1 oleh RAM Sustainability Sdn Bhd di bawah Rangka Kerja Bon/Sukuk Kelestarian Cagamas,” katanya.
Cagamas berkata urus niaga terbaharu itu menjadikan jumlah terbitan tahun sehingga kini syarikat itu berjumlah RM10.05 bilion.
Ia berkata terbitan itu akan ditebus pada nilai nominal penuhnya apabila matang dan merupakan obligasi tidak bercagar syarikat, meletakkan kedudukan pari passu dengan semua obligasi tidak bercagar sedia ada syarikat yang lain. - DagangNews.com