Oleh NABILA YASMIN RAZIB
KUALA LUMPUR 28 Sept. - Cagamas Bhd mengumumkan penerbitan agregat berjumlah RM2.45 bilion yang hasilnya akan digunakan untuk membiayai pembelian pinjaman perumahan dan aset yang layak daripada sistem kewangan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas, Datuk Chung Chee Leong berkata, terbitan itu terdiri daripada RM400 juta kertas komersial konvensional tiga bulan (CCP), RM550 juta nota jangka sederhana konvensional (CMTN) bertempoh dua tahun dan RM1.5 bilion nota jangka sederhana Islam (IMTN) pelbagai 'tranche' satu, dua dan tiga tahun.
"Walaupun keadaan pasaran yang lemah berikutan jangkaan pasaran terhadap kemungkinan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan Amerika Syarikat mengumumkan pengurangan rangsangan selain kebimbangan berterusan mengenai krisis hutang oleh salah satu firma hartanah di China dan kesannya terhadap pasaran global, kami gembira dengan sokongan kuat untuk kertas-kertas Cagamas," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, harga IMTN dibuat menerusi penentuan harga yang berjaya menarik penyertaan pelbagai pelabur yang terdiri daripada institusi kewangan, syarikat insurans, pengurus aset, dana kekayaan negara, dana pencen, badan berkanun dan juga pelabur asing.
Ujarnya, permintaan untuk kertas-kertas syarikat sangat baik, menyaksikan pengecilan 'tranche' satu tahun daripada panduan harga permulaan atau awal 2.20% kepada 2.18% sementara 'tranche' tiga tahun meningkat daripada harga awal RM800 juta kepada harga akhir RM1.15 bilion.
IMTN mencatatkan spread kompetitif iaitu 35 hingga 39 mata asas (bps) berbanding Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia.
Menurut Chee Leong , penerbitan lain yang dimuktamadkan menerusi penempatan persendirian dan diberikan harga kompetitif mewakili 22 hingga 47 mata asas melebihi Bil Perbendaharaan Malaysia dan Sekuriti Kerajaan Malaysia.
"Penerbitan baharu ini menjadikan penerbitan agregat syarikat untuk tahun 2021 bernilai RM11.95 bilion, melebihi jumlah terbitan RM11.7 bilion syarikat pada tahun sebelumnya," katanya. -DagangNews.com
Virus-free. www.avast.com |