CAGR pendapatan PA Resources dalam FY23-26 dijangka meningkat 25% dipacu lanjutan kontrak RM1 bilion – Rakuten Trade | DagangNews Skip to main content

CAGR pendapatan PA Resources dalam FY23-26 dijangka meningkat 25% dipacu lanjutan kontrak RM1 bilion – Rakuten Trade

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Jan - Rakuten Trade menjangkakan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) pendapatan PA Resources Bhd meningkat 25% dari tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 hingga 2025 (FY23-26).

 

Firma penyelidikan itu berkata kumpulan tersebut akan memanfaatkan penerimaan lanjutan kontrak bernilai RM1 bilion daripada daripada First Solar, ditambah perkembangan kapasiti penyemperitan sebanyak 35% dan peningkatan margin hasil menerusi pelaksanaan pengoptimuman kos sebelum ini dan harga gas asli yang lebih rendah.

 

PA Resources merupakan syarikat penyemperit dan fabrikasi aluminium negara untuk industri panel solar yang memperoleh lebih 90% daripada pendapatan daripada pelanggan terbesarnya, First Solar.

 

Rakuten Trade berkata pengembangan kapasiti penyemperitan kumpulan itu telah disiapkan baru-baru ini daripada 2,600 tan sebulan kepada 3,500MT sebulan dan sudah 90% digunakan.

 

Firma itu berkata ia adalah tepat pada masanya kerana ia membolehkan PA Resources melaksanakan kontrak baharu First Solar itu dengan segera.

 

ARTIKEL BERKAITAN: PA Resources raih lanjutan kontrak bernilai RM1.08 bilion daripada First Solar

 

“Melangkah ke hadapan, PA Resources merancang untuk meningkatkan kapasiti penyemperitan semasanya, didorong lagi oleh permintaan berterusan daripada First Solar dan kepelbagaian pangkalan pelanggan – PA Resources telah menerima banyak pertanyaan perniagaan daripada pelanggan lain tetapi tidak dapat dipenuhi kerana had kapasiti pengeluaran.

 

“PA Resources juga merupakan penerima manfaat daripada perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China kerana kebanyakan penghantaran First Solar dihantar ke AS,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Di samping itu, Rakuten Trade berkata syarikat itu sentiasa mencari peluang untuk mengembangkan dan menambah baik operasinya bagi meningkatkan kecekapan keseluruhan.

 

Menurut firma itu, kunci kira-kira syarikat kukuh dengan kedudukan tunai bersih RM29.7 juta pada suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24).

 

Ia juga menjangkakan PA Resources akan membayar dividen FY24 dan FY25 masing-masing sebanyak 0.6 sen dan 0.9 sen, iaitu hasil sebanyak 1.9% dan 3.1%, sejajar dengan corak pengagihan sejarahnya.

 

Rakuten Trade mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) 41 sen sesaham berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) 11 kali berbanding pendapatan sesaham (EPS) FY25 sebanyak 3.7sen memandangkan permodalan pasarannya lebih besar berbanding syarikat pesaing yang tersenarai di Bursa Malaysia.

 

Setakat pukul 11:56 pagi ini, saham PA Resources naik 1 sen atau 3.3% kepada 31.5 sen dengan permodalan pasarannya berjumlah RM470.5 juta.  - DagangNews.com