Cahya Mata Cement, Sinoma Industry meterai perjanjian perundingan teknikal | DagangNews Skip to main content

Cahya Mata Cement, Sinoma Industry meterai perjanjian perundingan teknikal

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Nov - Cahya Mata Cement Sdn Bhd bersama Sinoma Industry Engineering (M) Sdn Bhd mengumumkan kerjasama menjalankan kajian komprehensif dan analisis teknikal bagi pihak Cahya Mata membangunkan klinker baharu dan pengoptimuman kemudahan sedia ada melalui pemeteraian perjanjian perundingan teknikal. 

 

Kerjasama bagi kajian dan analisis teknikal itu menandakan satu kemajuan penting bagi Cahya Mata Cement dan juga industri simen di Borneo, kerana ia menunjukkan komitmen jangka panjang Cahya Mata Cement terhadap pembangunan ekonomi Sarawak.

 

Ia juga selaras dengan komitmen Cahya Mata Cement dalam pelaburan bagi mengembangkan kapasiti simennya dan mewujudkan rangkaian klinker baharu seperti yang diumumkan kumpulan pada 27 Jun lepas.

 

Pengerusi Kumpulan Cahya Mata, Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata, kerjasama itu menunjukkan komitmen berterusan terhadap pembangunan Sarawak kerana perniagaan mereka merupakan antara bahagian penting dalam rantaian bekalan pembinaan. 

 

Katanya, pihaknya yakin dengan usaha untuk perniagaan simen berikutan perkongsian dengan syarikat terkemuka global seperti Sinoma Industry yang mempunyai pengalaman industri yang luas dan kepakaran teknikal dalam pembangunan kilang simen di seluruh dunia. 

 

"Clinker Line 2 baharu akan memberikan kami kapasiti pengeluaran yang mencukupi untuk mengurangkan risiko gangguan bekalan secara material, membuka peluang tambahan ke pasaran eksport berdekatan dan keupayaan untuk menghasilkan pelbagai jenis simen. 

 

"Tambahan pula, pengembangan yang tepat pada masanya ini akan meningkatkan lagi kecekapan operasi dan kos kumpulan secara keseluruhannya," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

 

Turut hadir pada majlis itu, Pengarah Urusan Kumpulan Cahya Mata Sarawak, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman B Abdul Taib; Pemangku Ketua Bahagian Simen Cahya Mata Sarawak, Choong Ju Tang; Naib Presiden Institut Reka Bentuk dan Penyelidikan Industri Simen Tianjin, Sun Jian dan Pengerusi Cahya Mata Cement, Dr Joe Khor Jaw Hui ketika memeterai perjanjian antara Cahya Mata Cement dan Sinoma Industry. 

 

 

cahya mata
(Dari kiri) Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman B Abdul Taib, Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin, Choong Ju Tang, Liu Tao, Sun Jian dan Dr Joe Khor Jaw Hui ketika majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Cahya Mata Cement dan Sinoma Industry.

 

 

Pengarah Urusan Sinoma Industry, Liu Tao pula berkata, kerjasama itu menunjukkan komitmen pihaknya dalam menyokong pembangunan mampan industri simen Sarawak. 

 

"Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan kumpulan dalam merealisasikan visi mereka untuk pembangunan ekonomi Sarawak, menyediakan rumusan yang inovatif, dan mengukuhkan kedudukan kami sebagai peneraju global dalam pembangunan loji simen. 

 

"Secara kolektif, kami berhasrat untuk mencipta impak yang berkekalan terhadap industri simen Borneo secara keseluruhan, memupuk pertumbuhan mampan melalui kemajuan teknologi," katanya.

 

Kajian dan penilaian teknikal yang dijalankan Sinoma Industry diunjurkan untuk mengoptimumkan keupayaan pembuatan di Mambong Line 1 milik Cahya Mata Cement dan memastikan kejayaan dalam projek turnkey untuk Clinker Line 2. 

 

Bagi Mambong Line 1, Sinoma Industry akan menyediakan kajian dan penilaian teknikal yang memfokuskan pada perkongsian teknologi dan pemindahan pengetahuan teknikal, bertujuan untuk meningkatkan kecekapan proses dan keberkesanan kos operasi dan penyelenggaraan Mambong Line 1.

 

Untuk Clinker Line 2, Sinoma Industry menjalankan kajian penilaian dan penilaian teknikal berasingan untuk kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan barisan baharunya di Mambong. Clinker Line 2 dianggarkan dapat menjana pengeluaran harian sebanyak 6,000 tan metrik (MT) atau 1.9 juta MT/tahun. - DagangNews.com