Capal, songket asli Terengganu jadi pilihan ramai sambut Aidilfitri | DagangNews Skip to main content

Capal, songket asli Terengganu jadi pilihan ramai sambut Aidilfitri

Mohd Arif (kanan) bersama tiga lagi adik beradiknya menjual capal di Pusat Dagangan Terengganu sepanjang Ramadan ini.
Oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 25 Mac - Capal dan kain sampin songket asli Terengganu tetap menjadi pilihan orang ramai sebagai pelengkap busana untuk digayakan pada Aidilfitri tidak lama lagi.

 

Walaupun harga capal dan songket asli Terengganu agak mahal berbanding material lain, ia tetap menjadi buruan orang ramai terutama peminat busana Melayu tradisional kerana kualitinya yang tinggi.

 

Usahawan, Mohd Arif Kori, 39, berkata, ramai pelanggan lebih suka memakai capal kerana ia dilihat lebih klasik dan istimewa berbanding kasut atau sandal biasa yang banyak di pasaran ketika ini.

 

Menurutnya, permintaan semakin tinggi pada tahun ini dengan anggaran 400 pasang telah terjual berbanding hanya 200 pasang capal sepanjang Ramadan tahun lalu.

 

"Antara faktor yang menyebabkan capal terus menjadi pilihan ramai kerana ia lebih tahan lama kerana diperbuat daripada kulit, malah ada capal yang telah dibeli sejak lapan tahun lalu masih selesa dipakai hingga hari ini.

 

 

terengganu

 

terengganu

 

 

"Pemakaiannya juga sesuai untuk digayakan dalam apa jua majlis sama ada sambutan hari raya, perkahwinan atau majlis makan malam yang bertemakan tradisional serta kesultanan Melayu.

 

"Harga yang kami tawarkan bermula dari RM90 bergantung kepada saiz dan rekaannya dan sesuai dipakai sama ada oleh kanak-kanak, orang dewasa hingga warga emas," katanya yang menjual capal di beberapa lokasi sekitar Terengganu sepanjang Ramadan tahun ini.

 

Selain Mohd Arif, tiga lagi adik beradiknya yang terlibat dalam perniagaan itu ialah Muhamad Rafi, 45; Kamrul, 50, dan Ghazali, 37.

 

Capal yang terkenal sebagai warisan bangsawan zaman Melayu sangat unik kerana dibuat secara ekslusif buatan tangan dan mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan kerana memerlukan  ketelitian.

 

 

terengganu
Noorfatimah Awang menunjukkan songket asli Terengganu hasil tenunan tangannya yang menjadi buruan ramai untuk Aidilfitri.

 

 

Bagi Noorfatimah Awang, 38 pula, beliau tidak menang tangan melayan permintaan pelanggan yang mahu membeli songket hasil tenunannya dan 12 pekerja lain sepanjang Ramadan kali ini.

 

Menurutnya, beliau juga banyak menerima tempahan daripada butik-butik milik usahawan di Lembah Klang. 

 

 

terengganu
Songket asli Terengganu mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan kerana dihasilkan secara manual dengan mesin tenun tradisional.

 

 

"Setakat ini, lebih 190 helai songket telah terjual dan saya yakin ia akan terus meningkat kepada 300 helai dalam minggu-minggu terakhir nanti.

 

"Setakat ini, songket paling murah ialah berharga RM1,100 dan paling mahal ialah RM9,500 bergantung kepada corak, rekaan dan gabungan warna songket tersebut.

 

 

terengganu

 

 

"Kebanyakan peminat songket asli Terengganu ialah ahli perniagaan, ahli politik, kerabat diraja dan golongan selebriti yang sangat mementingkan kualiti sebagai pelengkap baju Melayu mereka pada Aidilfitri nanti," katanya. - DagangNews.com