CapitaLand derma RM350,000 kepada kanak-kanak yang terjejas akibat COVID-19 dan mangsa banjir  | DagangNews Skip to main content

CapitaLand derma RM350,000 kepada kanak-kanak yang terjejas akibat COVID-19 dan mangsa banjir 

KUALA LUMPUR 6 AprilCapitaLand, menerusi sokongan kebajikan CapitaLand Hope Foundation (CHF), telah mendermakan sebanyak RM200,000 di bawah inisiatif #GivingBersama bagi menyediakan keperluan harian dan peranti teknologi kepada lebih daripada 650 kanak-kanak dari 17 rumah anak yatim di Johor, Lembah Klang, Kuantan dan Pulau Pinang.

 

Ia bagi membolehkan mereka untuk meneruskan pembelajaran dalam talian dan kekal berhubung secara digital di tengah pandemik COVID-19. 

 

Dari November 2021 sehingga Februari 2022, sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan syarikat telah menjalankan lebih daripada 20 aktiviti secara maya termasuk seni dan kraftangan, senaman kecergasan, pertanian,  dan pengetahuan am tenang jenayah siber.

 

CapitaLand turut menggalakkan kakitangan dan pelanggan untuk menyumbangkan mata ganjaran mereka yang dinamakan STAR$ kepada inisiatif #GivingBersama menerusi CapitaStar, program ganjaran membeli-belah tanpa kad pelbagai kedai, pelbagai pusat beli-belah oleh CapitaLand.

 

CHF seterusnya memadankan sumbangan mata ganjaran daripada kakitangan dan pelanggan dengan jumlah dikumpul menerusi nilai ringgit CapitaStar.

 

Menerusi CHF, CapitaLand juga mendermakan sebanyak RM150,000 kepada MERCY Malaysia demi sokongan kepada usaha bantuan untuk penduduk Hulu Langat di Selangor yang terjejas akibat kebanjiran pada Disember 2021.

 

Dana berkenaan dimanfaatkan untuk menyediakan air bersih kepada 200 keluarga, di samping mendapatkan peralatan dan barangan keperluan sekolah seperti beg sekolah, kasut, stokin dan alat tulis membabitkan 300 kanak-kanak.

 

Ketua Peruncitan CapitaLand Investment (Malaysia), Selina Ng berkata: pihaknya berharap sumbangan tersebut dapat menyuntik semangat buat keluarga dan kanak-kanak, serta memberikan sumbangan yang bermakna kepada kehidupan mereka.


 

capitaland

 

capitaland

 


Pengurus Besar, Bahagian Operasi Program, MERCY Malaysia, Mohammad Said Alhudzari Ibrahim berkata: “Kami ingin berterima kasih kepada CapitaLand kerana menyokong dan mengukuhkan usaha bantuan mangsa banjir untuk penduduk Hulu Langat.

 

‘’Menerusi kerjasama sedemikian yang memanfaatkan kekuatan kami dalam pengurangan dan pengurusan risiko bencana, kita berupaya untuk membina masyarakat yang berdaya tahan dan bangkit daripada krisis dengan lebih kuat.” – DagangNews.com