Capitaland dijangka lupus pusat beli-belah yang sedang bergelut | DagangNews Skip to main content

Capitaland dijangka lupus pusat beli-belah yang sedang bergelut

Plaza Sungei Wang antara pusat beli-belah yang sedang bergelut selain masih mencatatkan kerugian bagi FY23.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Mac - CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) dijangka melupuskan pusat beli-belahnya yang sedang bergelut.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, pusat beli-belah Capitaland di Lembah Klang berdepan pelbagai cabaran semasa FY23.

 

Katanya, Plaza Sungei Wang dan 3 Damansara masih mencatatkan kerugian pada FY23 walaupun kadar penghunian masing-masing mencecah 87% dan 79%. 

 

Bagaimanapun, The Mines mencatatkan keputusan positif dengan pendapatan hartanah bersih (NPI) sebanyak RM11.5 juta.

 

"Kami difahamkan bahawa pengurusan sedang berusaha untuk melupuskan pusat beli-belah yang sedang bergelut tetapi kami percaya mereka berdepan kesukaran untuk mencari pembeli dalam tempoh terdekat," katanya dalam satu nota kajian. 

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan kumpulan itu mencatatkan pertumbuhan pendapatan setiap unit (EPU) sebanyak 10.8% pada FY24 didorong sumbangan setahun penuh Queensbay Mall.

 

Katanya, ia adalah berdasarkan andaian peningkatan kadar sewa positif sebanyak 3% dan kadar penghunian stabil di Plaza Gurney, Queensbay Mall dan East Coast Mall.

 

"Strategi portfolio pengurusan adalah untuk menerokai aset perindustrian/logistik dan melihat untuk melupuskan asetnya yang memberikan hasil rendah sebagai sebahagian daripada usaha menambah semula modalnya," katanya.

 

Maybank In mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 64 sen sesaham. - DagangNews.com