CCC kecewa keputusan kerajaan masih kekalkan Dasar Generasi Penamat | DagangNews Skip to main content

CCC kecewa keputusan kerajaan masih kekalkan Dasar Generasi Penamat

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Okt - Pusat Pilihan Pengguna (CCC) kecewa dengan keputusan kerajaan mengekalkan generasi penamat dalam Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 yang akan dibentangkan pada minggu hadapan untuk bacaan kedua. 

 

Wakil CCC, Tarmizi Anuwar berkata, tidak banyak perubahan yang akan dilakukan kerajaan dalam rang undang-undang ini walaupun sudah dua kali melalui proses penilaian di peringkat jawatankuasa pilihan khas apabila mengekalkan pelaksanaan generasi penamat.

 

Beliau berkata, bahawa kerajaan perlu mengambil kira pandangan pelbagai pihak secara serius dan adil apabila libat urus diadakan serta mengamalkan pendekatan dasar berdasarkan bukti. 

 

"Pengguna telah memberi cadangan untuk penambahbaikan, tetapi mereka tidak diambil serius. Dengan pelaksanaan ini, sudah tentu usaha mengurangkan perokok di Malaysia akan menjadi sia-sia kerana pelaksanaan generasi penamat ini akan meningkatkan permintaan terhadap rokok pasaran gelap di Malaysia," katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

 

Menurut Tarmizi, sehingga kini, rokok seludup di Malaysia kekal tinggi pada 55.3% pada Mei tahun ini, dengan hanya sedikit penurunan daripada 56.6% pada 2022. 

 

Katanya, walaupun sudah bertahun-tahun, masih tiada strategi yang serius dan berkesan untuk memerangi rokok seludup di negara ini.

 

Beliau turut menjawab kenyataan Presiden Persatuan Perubatan Komanwel, Dr Muruga Raj Rajathurai bahawa jika rang undang-undang ini tidak diluluskan maka kanak-kanak akan terdedah kepada vape tanpa sekatan.

 

 

ccc
Tarmizi Anuwar

 

 

Tarmizi berkata, ia adalah kenyataan yang mengelirukan kerana vape boleh dikawal tanpa perlu melalui generasi akhir.

 

"Kami di CCC telah lama menggesa kerajaan supaya segera mengawal selia vape dengan cara yang bijak dan koheren. Jika tidak, pengguna hanya akan terus mengakses produk yang tidak terkawal.

 

"Untuk mengelakkan vape di bawah umur, kami mencadangkan peraturan pintar dan menguatkuasakan sekatan umur yang ketat pada peranti vape dan cecair di tempat jualan dan menggunakan teknologi pengesahan moden untuk jualan dalam talian," katanya.

 

Katanya, peraturan itu boleh dilakukan tanpa perlu melalui generasi penamat dan telah berjaya dibuktikan di Sweden. 

 

Negara bebas asap rokok pertama itu berjaya mengurangkan kadar merokok daripada 15% kepada 5.6% dalam tempoh 15 tahun melalui strategi menyediakan produk alternatif secara meluas dan termaklum.

 

Tambahnya, cadangan kerajaan untuk memperkenalkan denda kepada pembeli sama ada rokok atau vape yang mencapai umur 18 tahun dalam kumpulan GEG akan membebankan pengguna. - DagangNews.com