CelcomDigi bakal transformasi Hulu Kelang sebagai daerah digital bersepadu | DagangNews Skip to main content

CelcomDigi bakal transformasi Hulu Kelang sebagai daerah digital bersepadu

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 6 Feb - CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) akan membina ekosistem bandar pintar di Hulu Kelang, dekat sini yang akan mempertingkatkan kualiti hidup penduduk dan pertumbuhan perniagaan di kawasan tersebut.

 

Perkara itu akan dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) melibatkan tempoh selama 10 tahun. 

 

Menerusi kerjasama itu, CelcomDigi akan meneroka serta melaksanakan penyelesaian teknologi 5G dan infrastruktur gentian yang mantap di DUN Hulu Kelang yang merupakan kawasan projek perintis untuk pembangunan Bandar Pintar Ampang Jaya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata, kerjasama dengan MPAJ adalah pakatan strategik yang dibina dengan wawasan bersama untuk membina infrastruktur bandar pintar dan model ekosistem yang boleh direalisasikan. 

 

"CelcomDigi dan MPAJ bekerjasama menilai dan mengenal pasti penyelesaian bandar pintar yang terbaik dan mampu mengubah Hulu Kelang menjadi suatu daerah digital bersepadu, lengkap dengan persekitaran moden dan mampan yang boleh mempromosikan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kebajikan penduduk. 

 

"Kami bertekad untuk memanfaatkan usaha sama ini dengan perkongsian teknologi tempatan dan global dalam membangunkan ekosistem yang diharapkan," katanya.

 

Menurut Idham, ini diharapkan menjadi model contoh yang membawa manfaat kepada rakan kongsi lain seperti majlis perbandaran dengan rangkaian penyelesaian bandar pintar yang boleh diguna pakai di lebih banyak bandar di seluruh negara.

 

"Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, CelcomDigi juga akan menerajui ‘sandbox’ yang menghimpunkan semua pihak berkaitan dengan penyelesaian bandar pintar seperti usahawan, pembekal teknologi, inovator dan pengeluar peranti, untuk menguji produk dan perkhidmatan mereka dalam persekitaran sebenar, yang berpotensi dilaksanakan dalam inisiatif bandar pintar Hulu Kelang," ujarnya.

 

mpa
Amirudin Shari (tengah), Dr Ani Ahmad dan Idham Nawawi (dua dari kanan) pada majlis menandatangani MoU antara CelcomDigi dan MPAJ di ibu negara hari ini.

 

Terdahulu, berlangsung majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara CelcomDigi dengan MPAJ yang disaksikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di sini.

 

CelcomDigi diwakili Idham manakala MPAJ diwakili Yang Dipertuanya, Dr Ani Ahmad.

 

Sementara itu, Amirudin dalam ucapannya berharap segala usaha di bawah inisiatif Bandar Pintar ini akan menjana impak positif terhadap ekosistem secara inklusif yang bukan sahaja untuk masyarakat tetapi juga ekonomi dan alam sekitar.”

 

“Kerjasama MPAJ dan CelcomDigi membuktikan kesungguhan MPAJ membina sebuah bandar pintar, selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk mentransformasikan Selangor kepada Negeri Pintar menjelang 2025,” katanya.

 

Kerjasama ini menyokong ‘Rangka Kerja Bandar Pintar’ MPAJ, satu pelan berwawasan yang dibangunkan pada Januari 2022 bagi mentransformasikan Ampang Jaya kepada bandar pintar, dengan memfokuskan kepada Infrastruktur Pintar, Ekonomi Pintar, Komuniti Pintar, Persekitaran Pintar dan Tadbir Urus Pintar.  - DagangNews.com