Censof bekerjasama dengan firma Belanda, Storecove bagi penyelesaian e-invois | DagangNews Skip to main content

Censof bekerjasama dengan firma Belanda, Storecove bagi penyelesaian e-invois

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 31 Julai - Censof Holdings Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Century Software (M) Sdn Bhd menjalinkan kerjasama dengan firma yang berpangkalan di Belanda, Storecove untuk meningkatkan keupayaan e-invoisnya.

 

Censof berkata, firma tu dipilih untuk pelancaran e-invoisnya kerana penyelesaian penyesuaian Storecove serta kepakaran dan pengalamannya yang terbukti.

 

Katanya, kerjasama tersebut bukan sahaja akan meningkatkan keupayaan Century Software tetapi turut meningkatkan keupayaan e-invois satu lagi anak syarikat Censof, Netsense Business Solutions Sdn Bhd. untuk pelanggannya.

 

Century Software adalah penyedia perisian perancangan sumber dan kewangan kerajaan terbesar di Malaysia. 

 

Ia berkata, Censof telah mencari penyedia perkhidmatan e-invois untuk menawarkan penyelesaian e-invois kepada pelanggannya tanpa melabur dalam membangunkan perisian baharu.

 

censof
Censof menyediakan penyelesaian pengurusan kewangan untuk kerajaan dan segmen komersial.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Censof peroleh kontrak RM13.4 juta untuk projek sistem pengurusan kewangan SSM

 

Pengarah Urusan Kumpulan Ameer Shaik Mydin berkata beliau yakin perkongsian itu akan memastikan perisiannya mematuhi sepenuhnya peraturan LHDN.

 

"Bersama-sama dengan Century Software, kami akan menyelaraskan invois untuk sektor awam. Aplikasi program API lanjutan Storecove disepadukan dengan lancar dengan platform Century Software untuk membolehkan e-invois automatik untuk transaksi masuk dan keluar," tambahnya.

 

Fasa pertama e-invois akan bermula pada Khamis (1 Ogos) bagi syarikat dengan pendapatan tahunan melebihi RM100 juta. - DagangNews.com