KUCHING 20 Mac - Centexs Commercial mempromosikan Mangkuk Tingkat atau dalam bahasa Sarawak lebih dikenali sebagai `Kaleng Kueh' menjadi satu produk pelancongan Sarawak.
Dikomersialkan sejak 2019, Kaleng Kueh dihasilkan oleh komuniti tempatan dan disokong sepenuhnya oleh Old Kuching Smart Heritage (OKSHe) yang bertujuan meningkatkan sosioekonomi, menjana peluang pekerjaan dan melindungi serta memelihara produk warisan.
Pengurus Besar Centex Commercial, Shahren Yusri berkata, pihaknya berharap Kaleng Kueh ini akan dikenali secara lebih meluas bukan sahaja di Sarawak tetapi seluruh negara sebagai satu produk pelancongan.
“Kita ingin menjadikan inisiatif ini lebih besar bukan setakat menjual kuih di mana pelancong akan menjadikan kaleng sebagai cenderamata dari Sarawak ini untuk dibawa pulang,'' katanya dalam kenyataan di sini.
Shahren berkata, komuniti tempatan khususnya pembuat kuih tradisional digalakkan untuk meletakkan produk mereka di Centexs Commercial menerusi inisiatif ini.
"Mungkin sebelum ini mereka hanya menjual di depan rumah atau di tepi jalan, tetapi melalui inisiatif ini, kita mampu mengangkat kuih tempatan supaya mempunyai nilai komersial seperti dijual di Heritage Central Cafe (Kafe dikendalikan oleh CENTEXS yang teletak ditengah-tengah bandar raya Kuching) atau dibekalkan ke pejabat-pejabat kerajaan atau agensi di bawah kerajaan menggunakan packaging yang menarik serta berkualiti," jelasnya.
Menurutnya, hasil kerjasama pertama bersama Tiffin Jeiwa bakal menampilkan wajah baharu Kaleng Kueh menggunakan mangkuk tingkat keluli tahan karat berkualiti tinggi yang sebelum ini menggunakan bekas berkonsepkan mesra alam sekitar.
Selain itu, beliau yakin melalui kerjasama ini, produk buatan Sarawak mampu menembusi pasaran global melalui platform Tiffin Jeiwa di Johor Bahru.
“Di Johor, orang Singapura yang keluar masuk di negeri itu boleh membeli produk kita dan ‘Produk Buatan Sarawak’ akan menjadi buah mulut ramai,” kata beliau.
Pengasas Tiffin Jiewa, Ina Fadilah Nizar berkata, pihaknya juga teruja untuk meletakkan motif Sarawak seperti songket, keringkam, pua kumbu dan sebagainya pada Tiffin Jiewa.
“Berdasarkan pasaran di Semenanjung , rekaan motif Sarawak ini sangat laku, laris dan memenuhi permintaan ramai,” ujar beliau.
Menurut beliau, setiap pembelian akan disalurkan kepada komuniti dan pertubuhan kebajikan terpilih. - DagangNews.com