Central Global catat peningkatan perolehan 25% 1Q2021 | DagangNews Skip to main content

Central Global catat peningkatan perolehan 25% 1Q2021

Pengerusi Eksekutif CGB, Dato’ Faisal Zelma
 


KUALA LUMPUR 26 Mei – Syarikat tersenarai di Papan Utama, Central Global Berhad (CGB atau Kumpulan) mencatat pertambahan sebanyak 25.42% dari segi perolehan kepada RM37.56 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2021 (1Q2021) berbanding RM29.95 juta pada suku yang sama tahun lalu.

 

Kumpulan mencatat kerugian selepas cukai (LBT) sebanyak RM1.03 juta bagi 1Q2021 berbanding keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM760,000 bagi tempoh suku yang sama pada tahun lalu.

 

Daripada segi segmen, bahagian perkilangan CGB mencatat peningkatan 48.3% dari segi perolehan kepada RM17.36 juta berbanding RM11.7 juta yang dicatat pada suku yang serupa pada tahun lalu manakala bahagian pembinaan pula mendapat pertambahan 10.7% dari segi perolehan kepada  RM20.2 juta berbanding RM18.24 juta yang dicatat bagi tempoh sama tahun sebelum ini.

 

Bagi 1Q2021, sayap perkilangan CGB meraih RM510,000 dari segi PBT berbanding LBT sebanyak RM139,000 bagi tempoh suku yang sama tahun lalu, kebanyakannya berpunca daripada sumbangan perolehan lebih tinggi daripada dagangan pita indistri dan stok label.

 

Di bawah suku tahunan yang dikaji, sayap pembinaan mencatat LBT sebanyak RM938,000 berbanding PBT sebanyak RM1.05 juta pada suku sama tahun lalu, disebabkan terutamanya oleh sumbangan rendah daripada dua projek terletak di Pulau Pinang yang telah disiapkan dan diserahkan pada 1Q2021.

 

Pengerusi Eksekutif CGB, Dato’ Faisal Zelman berkata: “Kami tetap bersemangat mengenai masa hadapan Kumpulan di sebalik cabaran-cabaran yang meningkat daripada jangkitan COVID-19 dan impaknya ke atas sentimen perniagaan. Rancangan-rancangan yang kami kongsikan kepada umum adalah sedang dilaksanakan dan kami yakin ia akan memberi manfaat kepada Kumpulan.”

 

“Kelulusan oleh Bursa Malaysia Securities Berhad terhadap cadangan penempatan persendirian 18 juta saham baharu pada akhir April lalu akan membantu pelaksanaan perancanan-perancangan tersebut.

 

"Seperti yang telah kami umumkan, kami berhasrat menambah baik kapasiti sayap pengeluaran kami serta membiayai projek pembinaan sedia ada di Pulau Pinang. Kami juga telah meraih projek pembinaan RM101 juta di Lahad Datu, Sabah yang akan melonjak besar sumbangan sayap pembinaan kami kepada prestasi kewangan syarikat bagi  suku tahunan berikutnya.

 

"Sayap perkilangan kami akan terus mengambil kesempatan daripada perubahan di dalam struktur pasaran yang berpunca daripada landskap persaingan berpecah-pecah manakala rantaian bekalan masih terjejas disebabkan perintah berkurung pandemik telah memberi kita peluang untuk menembusi lebih jauh lagi pasaran domestik," kata beliau. 

 

Menurut Faisal, kes jangkitan COVID-19 yang melonjak sememangnya membimbangkan dan syarikat memantau situasi semasa. "Kami terus mematuhi semua prosedur operasi standard bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan kakitangan, vendor dan pelanggan kami,” ujarnya. - DagangNews.com