Central Global, Permodalan Kedah bekerjasama dalam projek pembangunan bernilai RM42.3 juta di Pendang | DagangNews Skip to main content

Central Global, Permodalan Kedah bekerjasama dalam projek pembangunan bernilai RM42.3 juta di Pendang

(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Abdul Rahman Din dan Pengarah Eksekutif Central Global, Jacky Lee dalam majlis menandatangani perjanjian kerjasama pada 4 Julai 2023.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 4 Julai - Central Global Berhad telah memeterai perjanjian kerjasama dengan Permodalan Kedah Berhad (PKB) untuk projek pembangunan campuran dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM42.3 juta di Pendang, Kedah.

 

Menurut kenyataan media hari ini, Central Global berkata perjanjian tersebut telah ditandandatangani oleh anak syarikatnya, Central Global Development Sdn Bhd (CGD) dengan PKB yang merupakan anak syarikat Menteri Besar Kedah Incorporated, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata projek itu merangkumi 4.73 hektar tanah pajakan, di mana ia bakal membangunkan 20 unit lot kedai atau pejabat dua tingkat, 46 unit rumah teres dua tingkat, dan 53 unit teres satu tingkat.

 

Projek tersebut disasarkan bermula dalam tempoh satu tahun dari tarikh pelaksanaan perjanjian dan dijangka siap dalam tempoh lima tahun.

 

CGD terutamanya terlibat dalam pegangan dan pembelian pelaburan, serta menjual, menyewa dan mengendali hartanah miliknya atau pajakan bangunan kediaman dan tanah.

 

Sementara itu, PKB terlibat terutamanya dalam pembangunan negeri Kedah dalam pelbagai bidang termasuk pembangunan hartanah, pembinaan, hospitaliti dan perlombongan.

 

Pengarah Eksekutif Central Global, Jacky Lee berkata permintaan untuk hartanah kediaman di Kedah terus menggalakkan dan kumpulan itu berbesar hati dapat menyumbang kepada usaha kerajaan negeri Kedah dalam memajukan pembangunan ekonomi negeri, khususnya dalam pembangunan hartanah.

 

“Perjanjian ini merupakan kerjasama sinergi yang sesuai dengan pelan pengembangan kami memandangkan Central Global memiliki pendedahan sedia ada dalam sektor pembinaan di wilayah utara.

 

“Sejajar dengan rancangan ini, kami terus mencari peluang dalam pasaran domestik dan serantau untuk memastikan penambahan semula projek yang sihat,” ujar beliau selepas majlis menandatangani perjanjian tersebut.

 

Kumpulan itu berkata buku pesanan pembinaannya pada masa ini direkodkan pada RM318.8 juta.

 

Saham Central Global hari ini ditutup pada RM1.54, tidak berganjak daripada harga penutupan semalam, memberikannya modal pasaran bernilai RM231.2 juta. - DagangNews.com