KUALA LUMPUR 6 Sept - Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan T7 Global Bhd. yang baru dilantik Tan Kay Zhuin menyasarkan untuk mencatatkan pendapatan tahunan syarikat sebanyak RM500 juta dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Beliau yang memiliki Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Petroleum dari University of New South Wales, Australia kini merupakan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan T7 Global dan telah memegang jawatan tersebut sejak 2018.
Dengan pelantikan tersebut yang berkuat kuasa pada 5 September 2022, beliau diberi mandat untuk meningkatkan lagi sinergi, kecekapan perniagaan dan tadbir urus korporat T7 Global dalam usaha melonjakkan kedudukan syarikat sebagai organisasi yang dihormati dan diurus secara profesional.
Kay Zhuin, 32, menyifatkan T7 Global berkembang pantas menjadi jenama yang diiktiraf dengan kecemerlangan prestasi dan rekod yang baik.
Katanya, sejak penubuhan T7 Global pada 2004, syarikat telah melabur dalam membina model kerja yang berjaya dan keupayaan dalaman untuk menyokong perniagaannya.
"Objektif utama saya sekarang adalah untuk memperkukuhkan kedudukan T7 Global di peringkat tempatan dan global, justeru, menetapkan sasaran untuk mencapai hasil tahunan sebanyak RM500 juta pada tahun-tahun akan datang.
"Adalah satu penghormatan apabila saya diberi tanggungjawab sedemikian untuk memimpin kumpulan. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pengarah atas keyakinan terhadap saya, pasukan pengurusan dan seluruh organisasi atas sokongan berterusan mereka. Saya berharap dapat membawa kumpulan ke tahap yang lebih tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum menyertai T7 Global, Kay Zhuin berkhidmat dengan beberapa syarikat multinasional dan E&P seperti Technip, Toyo Engineering Corporation dan KrisEnergy Limited.
Pada 2016, beliau menyertai Tanjung Offshore Services Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh T7 Global, sebagai Ketua Pembinaan dan Penyelenggaraan Luar Pesisir.
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan T7 Global, Datuk Seri Dr Nik Norzrul Thani N. Hassan Thani berkata, kumpulan berada pada kedudukan yang baik untuk mencipta kejayaan seterusnya dan pertumbuhan yang mampan di bawah kepimpinan Kay Zhuin.
Katanya, syarikat mempunyai keyakinan yang tinggi terhadapnya, setelah mencapai banyak pencapaian seperti mengubah kumpulan daripada sebuah syarikat perkhidmatan penyelenggaraan luar pesisir kepada penyedia penyelesaian bersepadu dalam tenaga, aeroangkasa & pertahanan serta pembinaan infrastruktur.
"Kay Zhuin memainkan peranan penting dalam menentukan pelan tindakan kejayaan bagi bahagian tenaga. Beliau telah menambah baik nilai kontrak kumpulan kepada lebih RM2 bilion dalam tempoh tiga tahun lalu sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan.
"Beliau, khususnya, memainkan peranan dalam beberapa kontrak utama seperti Unit Pengeluaran Luar Pesisir Mudah Alih Bayan serta turut menyokong kejayaan portfolio perniagaan T7 Global yang pelbagai,” katanya. - DagangNews.com