CEO MBSB Ahmad Zaini Othman meninggal dunia akibat COVID-19 | DagangNews Skip to main content

CEO MBSB Ahmad Zaini Othman meninggal dunia akibat COVID-19

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Building Society Bhd (MBSB), Datuk Seri Ahmad Zaini Othman, meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19, awal pagi semalam.

 

Allahyarham yang berusia 64 tahun, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 1.46 pagi di Hospital Pakar KPJ Selangor.

 

MBSB dalam kenyataannya, memaklumkan Ahmad Zaini seorang yang berwawasan dan mempunyai pengalaman perbankan selama empat dekad, dilantik menerajui MBSB (syarikat pegangan kewangan) pada 26 Februari 2009.

 

"Di bawah kepimpinannya, beliau mengubah MBSB daripada sebuah institusi kewangan bukan bank menerusi penyusunan semula dan mengalihkan kedudukan kewangan menjadi organisasi menguntungkan.

 

"Beliau turut berjaya memeterai perjanjian penggabungan di antara MBSB dan Asian Finance Bank. Penggabungan itu memberi kelulusan pemerolehan kepada MBSB untuk memiliki sepenuhnya MBSB Bank Berhad pada 2018," katanya.

 

Kenyataan itu juga menyebut, Ahmad Zaini juga berjaya menukarkan institusi kewangan bukan bank konvensional menjadi bank Islam yang lengkap, sekali gus menjadikan MBSB Bank berdiri sebagai institusi perbankan Islam kedua terbesar di negara ini.

 

Ahmad Zaini memperoleh pelbagai pengiktirafan sepanjang pembabitan dalam industri perbankan.

 

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, dua anak perempuan yang sudah berumah tangga serta dua cucu.

 

Sementara itu, Ketua Kumpulan MBSB, Tan Sri Azlan Zainol, ketika menzahirkan rasa simpati kepada keluarga Allahyarham, menyifatkan kehilangan Ahmad Zaini satu kehilangan besar kepada MBSB dan juga kepada industri perbankan.

 

Sebagai langkah sementara, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MBSB, Datuk Nor Azam M Taib, akan menjadi pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB. - DagangNews.com