Kenanga kekal pandangan neutral terhadap sektor penerbangan walaupun jumlah pelawat ke Malaysia diunjur naik 15% kepada 31 juta  | DagangNews Skip to main content

Kenanga kekal pandangan neutral terhadap sektor penerbangan walaupun jumlah pelawat ke Malaysia diunjur naik 15% kepada 31 juta 

Gambar NAIM AZIZ/Dagangnews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Jan - Jumlah pelawat ke Malaysia diunjur sebanyak 31 juta didorong oleh kemasukan pelancong China serta pemulihan perjalanan udara yang berterusan, kata Kenanga Research. 

 

Walaupun firma penyelidikan itu mengunjurkan kenaikan 15% dalam bilangan pelawat ke Malaysia kepada 31 juta, sejajar dengan anggaran kerajaan, Kenanga mengekalkan pendirian neutralnya terhadap sektor penerbangan.

 

"Antara faktor utama kepada pertumbuhan ini adalah lantunan semula dalam ketibaan pelancong, terutamanya pelancong China yang mengikut sejarah menyumbang kira-kira 12% daripada jumlah ketibaan pelawat.

 

“Selain itu, perjalanan percuma visa China dan India selama 30 hari ke Malaysia menyumbang kepada peningkatan 82%.

 

“Pada September, pemulihan China dan India masing-masing berada pada 123% dan 90% berbanding 2019.

 

"Turut membantu adalah China bersetuju melanjutkan kemudahan pengecualian visanya bagi warganegara Malaysia sehingga akhir 2025 manakala Malaysia akan melanjutkan pengecualian visa kepada warganegara China sehingga akhir 2026," katanya dalam satu nota kajian, hari ini. 

 

Rakyat Malaysia yang memasuki China mulai 30 November 2024 akan dapat menikmati penginapan tanpa visa selama 30 hari sehingga 31 Disember 2025.

 

Kenanga berkata langkah itu seharusnya memacu pertumbuhan dalam kapasiti penumpang Malaysia Airports Holdings Bhd dan permintaan penumpang Capital A Bhd pada 2025.

 

"Kami mengunjurkan daya tampung penumpang seluruh sistem MAHB meningkat sebanyak 11% kepada 146 juta pelawat pada 2025. 

 

"Bilangan penumpang dan ketersambungan dijangka berpulih dipacu oleh pengenalan syarikat penerbangan dan perkhidmatan baharu di lapangan terbang utama, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Langkawi," katanya.

 

Sementara itu, firma tersebut tidak mempunyai pilihan syarikat bagi sektor tersebut. - DagangNews.com