Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 Sept. - MSM Malaysia Holdings Bhd. (MSM) mengeluarkan arahan bercuti kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Khairil Anuar Aziz dan tujuh hari untuk mengemukakan jawapan mengenai ketidakseimbangan inventori syarikat.
Arahan yang dikeluarkan oleh Lembaga Pengarah syarikat itu berkuat kuasa serta-merta hingga notis pemakluman lanjut.
"Beliau diberi tujuh hari cuti bermula hari ini untuk menjawab soal ketidakseimbangan yang dikaitkan dengan inventori MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn. Bhd.
"Lembaga Pengarah MSM telah melantik Fakhrunniam Othman sebagai Pegawai Bertugas untuk menjalankan fungsi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan," kata MSM Malaysia menerusi pemaklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.
Fakhrunniam Othman kini berkhidmat sebagai Pegawai Pelaburan Kumpulan FGV Holdings Berhad.
MSM Malaysia juga menubuhkan Jawatankuasa Eksekutif Lembaga Pengarah yang terdiri daripada tiga pengarah MSM iaitu Datuk Syed Hisyam Syed Wazir, Datuk Dr. Abd. Hapiz Abdullah dan Datuk Haris Fadzilah Hassan bagi membantu Pegawai Bertugas untuk tempoh sementara.
Tambah MSM, operasi perniagaan syarikat akan diteruskan seperti biasa meskipun berdepan dengan isu berkenaan.
Pengumuman selanjutnya akan dikeluarkan sekiranya terdapat perkembangan dan pemakluman penting berhubung perkara tersebut.
Khairil Anuar mula dilantik dan memegang tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM pada 23 April 2019.
Pada 2018 pula, beliau pernah dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi Sektor Gula dalam FGV. - DagangNews.com