CEO syarikat jangka keadaan kembali normal 2022 - KPMG | DagangNews Skip to main content

CEO syarikat jangka keadaan kembali normal 2022 - KPMG

 

 

KUALA LUMPUR 29 Mac - Kaji selidik yang dijalankan KPMG membabitkan 500 Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di seluruh dunia mendapati 45% daripadanya tidak menjangkakan keadaan kembali normal sekurang-kurangnya sehingga 2022. 

 

Menerusi kaji selidik Prospek CEO 2021 KPMG itu, turut menunjukkan 31% daripada CEO pula menjangkakan ia akan berlaku hujung tahun ini. 

 

Apa yang menarik, hanya 6% daripada CEO di Asia Pasifik meramalkan keadaan kembali normal dengan majoriti yang signifikan (59%) membayangkan ia hanya akan berlaku pada 2022.

 

Ia juga menunjukkan hampir dua pertiga (61%) daripada CEO akan melihat sejauh mana kejayaan pelancaran vaksin COVID-19, dengan sekurang-kurangnya separuh daripada penduduk sudah divaksinkan sebelum memanggil pekerja kembali ke pejabat. 

 

Didapati 9 daripada 10 pemimpin syarikat bagaimanapun berhasrat meminta pekerja mereka untuk membuat laporan sama ada sudah mengambil vaksin atau tidak bagi melindungi pekerja yang lain. 

 

 

Johan Idris
Johan Idris

 

 

Pengarah Urusan KPMG Malaysia, Datuk Johan Idris berkata, para CEO benar-benar mahu memastikan tempat kerja mereka dilindungi daripada wabak ini sebelum mengambil sebarang keputusan dalam perniagaan. 

 

"Perkara ini dapat dilihat apabila mereka berpendapat perniagaan akan kembali normal pada 2022," katanya dalam kenyataan hari ini.  

 

Menurutnya, pada tahun lalu CEO berdepan cabaran untuk mengadaptasi perniagaan dengan norma baharu dan membangunkan kaedah kreatif untuk mengekalkan perniagaan dalam tempoh tidak menentu yang berpanjangan. 

 

Tetapi, katanya, kini satu pertiga daripada CEO di Asia Pasifik mempertimbangkan perubahan model perniagaan buat selama-lamanya. 

 

"Peneraju perniagaan ketika ini harus melihat dengan serius impak jangka panjang pandemik dan merebut peluang ini untuk mentafsir semula norma baharu ini," katanya. - DagangNews.com