CGC lantik Penolong Gabenor Bank Negara sebagai pengarah bebas bukan eksekutif | DagangNews Skip to main content

CGC lantik Penolong Gabenor Bank Negara sebagai pengarah bebas bukan eksekutif

Penolong Gabenor BNM Adnan Zaylani Mohamad Zahid
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 5 Mei - Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) melantik Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Suhaimi Ali sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif baharu, berkuat kuasa 28 April lalu.

 

CGC berkata, sebagai Penolong Gabenor BNM, Suhaimi bertanggungjawab terhadap Jabatan Pembangunan dan Inovasi Kewangan, Jabatan Sistem Kewangan Islam dan Jabatan Rangkuman Kewangan bank pusat.

 

“Beliau telah berkhidmat dengan BNM selama 24 tahun dalam pelbagai bidang termasuk pembangunan sektor kewangan, pengawalan dan penyeliaan, perancangan strategik, amalan pasaran, perundingan antarabangsa dan perkhidmatan teknologi maklumat serta di pejabat gabenor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

CGC berkata Suhaimi merupakan ahli jawatankuasa pengurusan BNM, jawatankuasa risiko lembaga, jawatankuasa pengurusan krisis, jawatankuasa digital dan teknologi, jawatankuasa pembangunan kewangan, jawatankuasa kestabilan kewangan, jawatankuasa dasar bersama dan jawatankuasa pengurusan rizab.

 

“Beliau juga merupakan ahli lembaga pemegang amanah untuk Tabung Amanah Pusat Kepimpinan Kewangan Antarabangsa (ICLIF),” katanya.

 

Suhaimi menyertai BNM pada 1998 selepas menamatkan pengajian dalam ijazah perakaunan dari University of Notre Dame, Amerika Syarikat, katanya.

 

Sementara itu, CGC merakamkan penghargaan kepada Penolong Gabenor BNM Adnan Zaylani Mohamad Zahid yang telah meletakkan jawatan sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif CGC pada 19 April lalu.

 

“Adnan Zaylani menyertai lembaga pengarah CGC pada 18 Oktober, 2018 dan telah menambah baik CGC dengan pengalaman cemerlang lebih 28 tahun semasa berkhidmat di BNM dalam operasi pelaburan dan pasaran kewangan,” katanya.

 

 

 Penolong Gabenor BNM Adnan Zaylani Mohamad Zahid
                                                         Adnan Zaylani Mohamad Zahid

 

 

CGC adalah 78.65 peratus dimiliki BNM dan 21.35 peratus oleh bank-bank komersial di Malaysia. Ia ditubuhkan untuk membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana yang tidak mempunyai cagaran atau rekod yang tidak mencukupi untuk mendapatkan kemudahan kredit daripada institusi kewangan dengan menyediakan perlindungan jaminan ke atas kemudahan tersebut. - DagangNews.com