CGS-CIMB jangka BNM turunkan OPR 25 mata asas | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB jangka BNM turunkan OPR 25 mata asas

 Bank Negara Malaysia

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka akan menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bp) pada 3 November nanti.

CGS-CIMB berkata, jangkaan itu adalah sebagai reaksi kepada Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Inflasi yang rendah memberi ruang untuk pelonggaran dasar monetari.

"Oleh itu, kami melihat kemungkinan ada penurunan dalam OPR sebanyak 25bp oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 3 November 2020.

"Ia adalah sebagai reaksi terhadap PKPB yang dijalankan selama dua minggu yang akan mengurangkan 0.18%pt (mata peratusan) dari KDNK untuk tahun 2020," jelas CGS-CIMB Research.

Semalam, DagangNews.com melaporkan Indeks Harga Pengguna (IHP), yang mengukur kadar inflasi menguncup 1.4% pada September 2020 kepada 120.1 berbanding 121.8 pada bulan sama tahun lalu.

Baca: Indeks harga pengguna September 2020 jatuh 1.4%

Kadar yang dicatatkan bulan itu sama seperti bulan Ogos sejajar dengan jangkaan yang dibuat CGS-CIMB Research.

Penurunan IHP keseluruhan itu dipengaruhi oleh kemerosotan indeks pengangkutan (-9.9%), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (-3.0%) dan pakaian dan kasut (-0.6%) yang menyumbang 41.6% daripada keseluruhan wajaran.

IHP bagi suku tahun ketiga 2020 menurun 1.4% kepada 120 berbanding 121.7 pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, mengikut perbandingan suku tahunan pula, IHP mencatatkan peningkatan 1.5% berbanding suku tahun kedua 2020.

Tambah CGS-CIMB Research, pihaknya mengekalkan ramalan KDNK kepada -4.4% bagi tahun 2020. - DagangNews.com