KUALA LUMPUR 21 Nov - CGS-CIMB Research menyemak turun harga sasaran Dagang NeXchange Bhd. (DNeX) kepada RM1.17 daripada RM1.50 sesaham sebelum ini dengan saranan 'tambah' dikekalkan.
Khamis lalu, harga saham syarikat teknologi ini menjunam sehingga 33% apabila ia memulakan timbang tara terhadap Mimastronics Technologies Co Ltd (MIMAS) berhubung pertikaian dalam perjanjian berkaitan SilTerra Malaysia Sdn. Bhd.
MIMAS dimiliki sepenuhnya oleh Tethystronics Technologies Co Ltd (TTCL), sebuah syarikat tujuan khas yang dimiliki oleh Beijing Integrated Circuit Advanced Manufacturing and High-Epment Equity Investment Fund Centre (CGP).
Secara dasarnya, DNeX dan CGP melalui DNeX Semiconductor Sdn. Bhd. dan TTCL, masing-masing telah memperoleh 60% dan 40% pegangan saham dalam SilTerra daripada Khazanah Nasional Bhd. bersasarkan perjanjian jual beli saham bertarikh 31 Mac 2021 antara DNeX, CGP dan Khazanah.
Menurutnya, penurunan harga sahamnya telah mengambil kira senario terburuk memandangkan penilaian SilTera dikeluarkan daripada penilaian aset bersih dinilai semula (RNAV) kumpulan.
Firma itu percaya kemungkinan perjanjian pelaburan yang dicadangkan akan diputuskan sebagai tidak sah, yang akan memihak kepada DNeX.
"Sebaliknya, jika keputusan timbang tara memihak kepada MIMAS, DNeX mungkin perlu membayar pampasan kepada MIMAS kerana tidak dapat melaksanakan saham keutamaan boleh tukar tidak boleh tebus (ICPS) dan meningkatkan kepentingannya dalam SilTerra.
"Jumlah pampasan bergantung kepada peratusan penukaran ICPS oleh MIMAS dan penilaian semasa SilTerra," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada Mac 2021, Khazanah menjual SilTerra yang berada dalam kerugian pada masa itu kepada DNeX dan dana ekuiti yang berpangkalan di China dengan tunai RM273 juta.
DNeX dan CGP telah komited untuk suntikan modal sekurang-kurangnya RM200 juta dengan cara melanggan saham baharu yang akan diterbitkan oleh SilTerra. Berdasarkan 60% kepentingan DNeX, suntikan modal oleh DNeX akan berjumlah kira-kira RM120 juta.
Kedua-dua pihak berusaha untuk memilih penerbitan saham keutamaan boleh tukar tidak boleh tebus (ICPS) dalam DNeX Semiconductor, berjumlah RM100 juta, untuk diterbitkan dan dilanggan oleh MIMAS. Ini akan menyebabkan MIMAS memegang 33% kepentingan dalam DNeX Semiconductor.
Perkara yang menjadi pertikaian ialah sama ada kelulusan awal diperlukan daripada MITI untuk pelaburan yang dicadangkan.
Susulan pengumuman pada 17 November lalu, DNeX mengadakan taklimat secara maya kepada penganalisis untuk menangani kebimbangan komunitin pelaburan.
CGS-CIMB berkata, pengurusan kumpulan menegaskan SilTerra kekal sebagai anak syarikat yang dimiliki 60% dan proses timbang tara tidak akan menjejaskan operasi SilTerra.
Katanya, kumpulan percaya ia mempunyai peluang tinggi untuk membuat pertimbangan yang baik dan menekankan bahawa perjanjian pelaburan yang dicadangkan adalah berkaitan dengan potensi pelaburan sebanyak RM200 juta di SilTerra untuk menyokong pengembangan faundri wafer pada masa hadapan.
"Bagaimanapun, DNeX berkata pelaburan baharu sedemikian tidak diperlukan ketika ini memandangkan SilTerra telah menjana keuntungan dan aliran tunai yang sihat untuk membiayai modal kerjanya.
"Selain itu, kumpulan juga menjelaskan ia tidak mengeluarkan sebarang ICPS mahupun menerima pembiayaan daripada MIMAS," katanya.
DNeX telah menggunakan dana yang dijana secara dalaman berjumlah RM163.8 juta untuk membeli 60% pegangan dalam SilTerra pada 2021. - DagangNews.com