CGS-CIMB jangka kecairan EPS Top Glove hingga 10% | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB jangka kecairan EPS Top Glove hingga 10%

Top Glove

Oleh MUHAMMAD ARIF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 14 Okt. - CGS-CIMB Research menjangkakan kecairan jangkaan perolehan sesaham (EPS) syarikat Top Glove Corporation Berhad (Top Glove) sebanyak 5.3% hingga 10%.

CGS-CIMB Research berkata, jumlah tersebut diletakkan berdasarkan andaian perolehan AS$1 bilion hingga AS$2 bilion (RM4.1 hingga RM8.2 bilion) daripada penyenaraian utama dua atau dual primary listing di pasaran saham Hong Kong (HKEX).

"Ketika ini kami mengambil pendekatan berkecuali dalam hal penyenaraian itu kerana maklumat masih terhad dan laporan tersebut belum disahkan oleh Top Glove sendiri.

"Dengan andaian bahawa Top Glove akan mengumpulkan perolehan RM4.1 bilion hingga RM8.2 bilion daripada penyenaraian itu, kami percaya bahawa ia berpotensi menjadikan kecairan sebanyak 5.3% hingga 10% terhadap EPS semasa kami," kata CGS-CIMB Research.

Tambah CGS-CIMB Research, jangkaan itu turut mengambil kira andaian bahawa Top glove akan menerbitkan kira-kira 460 hingga 910 juta saham baharu pada harga RM9.09 sesaham.

Perkara itu juga turut dilihat kepada andaian ketiadaan pendapatan faedah daripada hasil tawaran awam permulaan (IPO) dan ketiadaan penggunaan tunai untuk sebarang aktiviti latihan penggabungan dan pengambilalihan (M&A).

Pada 12 Oktober lalu, DagangNews.com melaporkan bahawa Top Glove sedang menilai 'penyenaraian utama dua' di pasaran saham Hong Kong (HKEX).

Baca: Top Glove pertimbang 'penyenaraian utama dua' di pasaran saham Hong Kong

Penyenaraian dual primary berkenaan bermaksud sesebuah syarikat tersenarai dalam dua pasaran saham utama yang berbeza.

Bagaimanapun, Top Glove dalam pemaklumannya kepada Bursa Malaysia memberitahu, cadangan penyenaraian itu masih pada tahap awal dan strukturnya belum dimuktamadkan.

Mengulas isu sama, laporan berita global, Reuters melaporkan bahawa Top Glove dijangka dapat mengumpulkan kira-kira AS$1 bilion hingga AS$2 bilion menerusi penyenaraian tersebut.

Tambah CGS-CIMB, dana yang akan diperoleh oleh Top Glove itu dijangka dimanfaatkan untuk rancangan pengembangan kapasiti pada masa hadapan dan latihan P&A.

CGS-CIMB Research turut mengekalkan saranan 'tambah' saham Top Glove dengan nilai sasaran sesaham (TP) berharga RM10.00. - DagangNews.com