CGS-CIMB jangka kerugian bersih Velesto meningkat kepada RM198 juta, semak turun saham kepada 'pegang'  | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB jangka kerugian bersih Velesto meningkat kepada RM198 juta, semak turun saham kepada 'pegang' 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 30 Nov - CGS-CIMB menyemak turun saranan saham Velesto Energy Bhd. kepada 'pegang' berbanding 'tambah' sebelum ini berikutan prestasi kewangan suku ketiga yang mengecewakan. 

 

Malah, firma itu turut menyemak semula harga sasaran yang lebih rendah pada 14 sen berbanding 16.5 sen sebelum ini. 

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, Velesto mencatat kerugian bersih sebanyak RM52.04 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 ekoran kadar penggunaan pelantar yang rendah dan kos pengaktifan semula bagi perkhidmatan medan minyaknya.

 

Pendapatan pada suku tersebut juga merosot 29.94% kepada RM91.54 juta daripada RM130.66 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Syarikat minyak dan gas itu yang mengendalikan 6 pelantar jack-up, menyaksikan kadar penggunaan sebanyak 51% berbanding 60% pada suku ketiga 2020, apabila kumpulan itu memperoleh keuntungan bersih sebanyak RM479,000.

 

Dalam nota kajian hari ini, penganalisis CGS-CIMB, Raymond Yap kini menganggarkan kerugian bersih teras bagi tahun kewangan 2021 (FY21) akan terus meningkat sebanyak 52% kepada RM198 juta. 

 

"Ini memandangkan kami menjangkakan Velesto hanya akan kembali mencatat pulangan modal pada suku keempat apabila kadar penggunaan pelantar meningkat sebanyak 70%.

 

"Ramalan ini berdasarkan kepada kerja-kerja penggerudian yang diperolehnya dan jangkaan kumpulan akan mengalami peningkatan perbelanjaan operasi (opex) pada suku berkenaan," katanya.

 

Kerugian bersih teras yang dialami suku ketiga itu bagaimanapun lebih mengecil berbanding RM82 juta pada suku kedua sebelumnya disebabkan kadar penggunaan pelantar yang lebih tinggi pada 51% berbanding 38%.

 

Namun, prestasi kewangan suku berkenaan masih mengecewakan kerana firma itu menjangkakan Velesto akan merekodkan keuntungan bersih teras kira-kira RM12 juta pada separuh kedua 2021.

 

Jelas Yap, bagi FY22 dan seterusnya, kos tambahan telah diambil kira memandangkan protokol COVID-19 mungkin berterusan selama-lamanya. 

 

"Ini menyebabkan anggaran untung bersih bagi FY22-FY23 dikurangkan sebanyak 14-45% manakala 15% lagi pengurangan bagi harga sasaran berdasarkan aliran tunai terdiskaun (DCF) kepada 14 sen," tambahnya.

 

Menurutnya, anggaran bagi kadar penggunaan pelantar sebanyak 70% juga kekal utuh, memandangkan kontrak sedia ada meningkatkan penggunaan sebanyak 41% dan 17% masing-masing bagi FY22 dan FY23, serta lebih banyak lagi kontrak yang akan diperoleh kemudian.

 

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kebimbangannya terhadap prospek FY22, kerana kadar penggunaan hanya boleh mencapai maksimum kira-kira 90% apabila Naga 5 dan Naga 6 mengalami dry-docked selama 90 hari pada tahun hadapan bagi membolehkan pemasangan di luar talian dijalankan. 

 

"Pada masa sama, kami juga khuatir mengenai prospek Naga 3, memandangkan ia telah disimpan selama 2 tahun dan purata penggunaan yang lebih pendek mengurangkan pilihan terhadap kerja-kerja yang dijalankannya.

 

"Jika kami menganggarkan Naga 3 kekal terbiar lagi setahun, kadar penggunaan maksimum bagi FY22 akan jatuh kepada hanya 75%," jelas beliau. 

 

Setakat 12.15 tengah hari ini, harga saham Velesto susut 0.05 sen atau 3.85% kepada 12.5 sen dengan 26.48 juta saham diniagakan. - DagangNews.com