KUALA LUMPUR 10 Mac - CGS-CIMB Research menjangkakan kadar dasar semalam (OPR) cecah 3.25% pada penghujung 2023 selepas tiada kenaikan pada separuh pertama selain dua kali kenaikan 25 mata asas (bps) pada separuh kedua.
Firma itu berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) berpandangan 'hawkish' atas beberapa faktor termasuk pembukaan semula China membawa kepada pemulihan ekonominya dengan peningkatan kukuh pada Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Februari 2023, merujuk kepada kesan limpahan positif ke arah pertumbuhan global.
Firma itu berpendapat, China pada dasarnya mengurangkan risiko kelembapan global yang lebih ketara selepas Amerika Syarikat (AS) masih bergelut dengan inflasi, dengan Fed baru-baru ini.
"Sebahagian daripada faktor BNM menghentikan kenaikan kadarnya pada 23 Januari 2023 ialah bank pusat global yang berpendirian 'dovish' namun jangkaan ini berubah, pada pandangan kami.
BACA JUGA: Tiada kenaikan, Bank Negara Malaysia kekal OPR pada 2.75%
"Kekuatan permintaan domestik kekal stabil memandangkan kehadiran semula pelancong China dijangka memacu industri perkhidmatan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, Belanjawan 2023 mengumumkan pelbagai langkah sokongan dasar, termasuk penerusan bantuan tunai serta pemotongan disasarkan dalam cukai pendapatan peribadi untuk menyokong penggunaan.
Katanya, tekanan inflasi semakin mereda apabila Indeks Harga Pengguna (CPI) teras menyederhana kepada 3.9% bacaan terendah sejak Oktober 2022.
"Bagaimanapun, tekanan harga seharusnya kekal, mendorong BNM untuk menjadi hawkish.
"Walaupun tiada kejelasan dalam Belanjawan 2023, kami menjangkakan beberapa rasionalisasi subsidi akan berlangsung tahun ini secara berperingkat," katanya. - DagangNews.com