KUALA LUMPUR 23 Nov - Penurunan harga bahan mentah seperti minyak sawit, gandum dan margerin secara berterusan dijangka membantu meningkatkan margin Kawan Food Bhd. pada suku keempat ini.
CGS-CIMB Research berkata, kelemahan ringgit juga dilihat akan menyokong peningkatan marginnya memandangkan 56.5% daripada hasil bagi tempoh sembilan bulan adalah menerusi pasaran eksport.
Katanya, Kawan Food menjangkakan pasaran eksport dan domestik akan meningkat pada suku keempat terutamanya didorong permintaan semula daripada para pelanggannya dan ketersediaan pengangkutan yang lebih baik.
"Ditambah dengan margin yang lebih baik, kami menjangkakan jualan pada suku keempat yang lebih kukuh, mencerminkan keuntungan bersih suku ke suku yang lebih kukuh pada suku keempat ini," katanya dalam nota kajian hari ini.
Untung bersih Kawan Food bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022 meningkat 34.33% kepada RM10.4 juta daripada RM7.74 juta bagi tempoh sama tahun manakala pendapatan meningkat kepada RM71.83 juta.
Peningkatan itu dipacu jualan yang lebih tinggi di tengah-tengah pengurangan kesesakan dalam penghantaran kontena.
Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan, untung bersihnya berkembang 34.31% kepada RM29.85 juta daripada RM22.22 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya dengan pendapatan meningkat kepada RM220.88 juta daripada RM184.39 juta.
Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengekalkan saranan 'tambah' terhadap Kawan Food dengan harga sasaran dinaikkan kepada RM2.82 daripada RM2.68 sesaham sebelum ini.
Bagaimanapun, firma itu mengurangkan pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) hingga FY24 sebanyak 7.1 hingga 7.7% susulan jualan eksport yang lebih rendah dan output pengeluaran yang lemah.
Setakat 11.16 pagi, harga sahamnya susut 5 sen atau 2.21% kepada RM2.21 dengan 188,000 saham diniagakan. - DagangNews.com