CGS-CIMB jangka untung bersih Supermax merosot sehingga 80% bagi FY22, kini TP dinilai pada 98 sen | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB jangka untung bersih Supermax merosot sehingga 80% bagi FY22, kini TP dinilai pada 98 sen

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 23 Feb - Penurunan harga jualan purata (ASP) secara berterusan dijangka menjejaskan prestasi kewangan Supermax Corp. Bhd. bagi tahun kewangan 2022 (FY22), menurut CGS-CIMB Research.

 

Ia turut dipengaruhi jumlah jualan yang lebih rendah disebabkan impak perintah tahan pelepasan (WRO) yang dikenakan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS) dan juga pengembangan kapasiti secara agresif dalam kalangan pemain industri sarung tangan getah.

 

Penganalisisnya, Walter Ax menjangkakan untung bersih Supermax bagi FY22 akan merosot sehingga 80% disebabkan penurunan ASP dan permintaan sarung tangan getah yang lemah.

 

"Memandangkan kami menjangkakan ASP global akan terus menurun, kami mengurangkan anggaran ASP bagi Supermax kepada AS$37.4/AS$26.1/AS$25.8 masing-masing bagi FY22/FY23/FY24 berbanding sebelum ini, AS$42.4/AS$27.2/AS$26.1," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu bagaimanapun mengulangi penarafan saham Supermax dengan saranan 'kurang' pada harga sasaran (TP) lebih rendah, 98 sen berbanding RM1 sebelum ini. 

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, pengeluar sarung tangan getah itu merekodkan untung bersih sebanyak RM47.84 juta bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2021, susut 95.48% daripada RM1.06 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Keuntungan bersih pada suku tersebut merosot menghampiri paras prapandemik disebabkan sekatan pasaran di AS dan pembekuan pesanan di Kanada, yang menambah kepada penguncupan mendadak dalam margin dan permintaan industri.

 

Pendapatan bagi tempoh itu juga susut 73.8% kepada RM523.54 juta berbanding RM1.99 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Bagi tempoh 6 bulan berakhir 31 Disember 2021, untung bersih Supermax jatuh 62.88% kepada RM686.37 juta daripada RM1.85 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan turut merosot kepada RM1.98 bilion daripada RM3.35 bilion.

 

Ini turut mendorong CGS-CIMB mengurangkan pendapatan sesaham (EPS) Supermax bagi FY22 hingga FY24 antara 1 hingga 37% setelah mengambil kira jumlah jualan dan ASP yang lebih rendah.

 

Menurut Aw, sebelum ini kumpulan mengumumkan perniagaan kanta sentuhnya telah menghentikan pembuatan jenama sendiri (Aveo Vision) memandangkan permintaan yang lemah dan kos meningkat. 

 

"Tetapi, kami dapati Supermax akan kembali mengeluarkan produk kanta sentuh ini daripada pengeluarannya di Malaysia, dengan tertumpu kepada pelanggan OEM berbanding mengeluarkan jenama sendiri.

 

"Kami tidak mengambil kira sumbangan menerusi perniagaan ini dalam unjuran EPS kami kerana ia menyumbang secara minimum, kurang daripada 2% kepada hasil FY21," jelasnya.

 

Setakat 10.11 pagi ini, harga saham Supermax susut 4 sen atau 3.67% kepada RM1.05 dengan 13.05 juta saham diniagakan. - DagangNews.com