CGS-CIMB kekal pandangan 'overweight' terhadap sektor telekomunikasi | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB kekal pandangan 'overweight' terhadap sektor telekomunikasi

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Sept - CGS-CIMB Research mengulangi pandangan 'overweight' terhadap sektor telekomunikasi (telco) dengan pilihan utamanya, Telekom Malaysia Bhd. (TM). 

 

Penarafan itu telah mengambil kira kemungkinan pendapatan telco terjejas akibat yuran borong 5G memberi kesan kepada harga sahamnya, yang setakat ini susut dengan purata 21%. 

 

Menurut firma itu, sektor tersebut berada di landasan yang betul untuk memenuhi sasaran Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa 1 menjelang akhir tahun ini, walaupun terdapat beberapa halangan untuk syarikat telekomunikasi yang lebih kecil pada suku kedua lalu.

 

Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini bergerak kepada sasaran yang lebih pragmatik mencapai 100% penggunaan internet berbanding liputan 4G bagi Fasa 2 Jendela (2023-2025).

 

"Oleh itu, kami lebih menyukai segmen tetap berbanding mudah alih kerana prospek pertumbuhan hasil dan persaingan yang lebih baik, justeru, TM menjadi pilihan utama kami bagi sektor ini. 

 

"Risiko kepada penarafan ini bergantung dengan kelewatan dalam penyelesaian isu 5G," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : Fasa 1 Jendela capai liputan 4G pada 95.82% setakat Jun 2022

 

Sasaran Jendela Fasa 1 adalah untuk mencapai sebanyak 7.5 juta premis dengan sambungan fiber pada kelajuan 35 Mbps dan 96.9% liputan menjelang akhir tahun.

 

Ia mempunyai 4.96 juta premis yang diluluskan dengan sambungan fiber serta liputan 25 Mbps (purata) dan 4G sebanyak 91.8% ketika inisiatif itu dimulakan pada Ogos 2020.

 

Setakat 30 Jun 2022, Jendela Fasa 1 untuk mencapai 7.2 juta premis yang dilengkapi kebersambungan fiber dan liputan 4G sebanyak 95.82%.

 

Mengenai penggunaan 100% internet menjelang akhir 2025 seperti disasarkan MCMC, CGS-CIMB berkata, ia tetap mencerminkan pendekatan pragmatik MCMC terhadap penggunaan pelbagai teknologi penyambungan yang sesuai (seperti satelit, ruang TV, 5G) untuk menampung baki 3.1% daripada populasi. 

 

"Ini akan mengelakkan rangkaian mudah alih yang terlalu membebankan operator, apabila terdapat kaedah yang lebih cekap kos," jelasnya.

 

Firma itu juga berpendapat, tidak mungkin terdapat risiko yang lebih besar untuk syarikat pengendali mudah alih (MNO) didenda kerana ia hanya berlaku jika mereka gagal membuat susulan, manakala MCMC nampaknya berpuas hati dengan prestasi keseluruhan mereka (berbanding sasaran Jendela).

 

Ini berikutan arahan yang dikeluarkan kepada beberapa MNO (pada Jun 2022) untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka di beberapa lokasi atau berdepan penalti sehingga RM200,000.

 

Dalam hal ini, MCMC berkata ia telah menambah baik prosedur pemantauannya, yang kini membolehkannya mengeluarkan notis dengan lebih cepat kepada MNO untuk mengambil tindakan. - DagangNews.com