CGS-CIMB kekal 'pegang' saham Supermax, negatif terhadap usaha ESG syarikat | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB kekal 'pegang' saham Supermax, negatif terhadap usaha ESG syarikat

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 6 Jan - CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Supermax Corp. Bhd. dengan harga sasaran (TP) pada RM1.30 berikutan langkah syarikat melaksanakan dasar baharu pengurusan pekerja asing dan juga pengembangan kumpulan di Amerika Syarikat (AS) yang dilihat positif.

 

Pada Isnin, syarikat pengeluar sarung tangan getah itu melancarkan Dasar Pengurusan Pekerja Asing yang komprehensif dan baharu serta menambah baik Dasar Sumber Manusia sedia ada, yang dijangka mempercepatkan proses dalam memenuhi piawaian Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO). Dasar tersebut telah berkuat kuasa sejak November 2021.

 

Supermax ketika ini dalam proses mengemaskini pihak Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS) tentang penambahbaikan yang dibuat di bawah dasar baharu tersebut yang berkuat kuasa sejak November 2021.

 

Penganalisisnya, Walter Aw berkata, pelaksanaan dasar itu merupakan langkah yang tepat buat Supermax kerana dapat membantu menarik balik sekatan yang dikenakan CBP terhadap import sarung tangan getah ekoran dakwaan penggunaan buruh paksa.

 

"Bagaimanapun, setakat ini syarikat belum lagi mendedahkan secara khusus usaha untuk memperbaiki amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) terutama berkaitan alam sekitar dan sosial,

 

"Jadi, kami berpandangan negatif dan tidak dapat menentukan sama ada syarikat telah membuat penambahbaikan berhubung perkara ini," katanya dalam nota kajian. 

 

Oleh itu, CGS-CIMB tidak membuat sebarang perubahan bagi unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2022 (FY22)-FY24 setakat ini. 

 

Baca : Supermax perkenal dasar baharu pengurusan pekerja asing, komited penuhi piawaian ILO 

 

Mengenai langkah pengembangan kumpulan ke AS, Aw berkata, kapasiti pengeluaran dijangka meningkat sebanyak 26% kepada 48.4 bilion dengan tambahan 5 kilang pengeluaran sarung tangan getah (pembinaan kilang 13, 14, 15, 16 dan 17 masih lagi berjalan) menjelang akhir FY23 sekiranya tiada sebarang kelewatan. 

 

"Termasuk dengan kapasiti akan datang daripada fasa pertama fasiliti pengeluaran di AS, kapasiti pengeluaran tahunan Supermax akan berkembang sebanyak 103% kepada 53.1 bilion pada akhir separuh pertama FY23," jelas beliau.

 

Pada 17 Disember lalu, Supermax menerusi anak syarikatnya yang berpangkalan di AS, Maxter Healthcare Inc melabur AS$350 juta untuk membangunkan kemudahan pengeluaran utama sarung tangan di Brazoria County, Texas.

 

Kilang pengeluaran yang dibangunkan di atas tanah berkeluasan 87 hektar itu dijangka dimajukan dalam empat fasa dengan pembangunan fasa pertama bermula suku pertama tahun depan sebelum operasi pengeluaran bermula suku keempat 2022. 

 

Setakat 9.19 pagi ini, saham Supermax menokok 4 sen atau 2.65% kepada RM1.55 dengan 4.52 juta saham diniagakan. - DagangNews.com