Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Nov - CGS-CIMB mengekalkan saranan 'pegang' bagi saham Westports Holdings Bhd. tetapi menyemak semula harga sasaran lebih rendah kepada RM4.14 berbanding RM4.18 sebelum itu.
Ini berikutan daripada cadangan pelaksanaan Cukai Makmur yang diumumkan kerajaan dalam pembentangan Bajet 2022, Jumaat lalu dijangka menjejaskan hasil Westports bagi tahun kewangan 2022 (FY22).
Di bawah pelaksanaan cukai sekali sahaja ini, syarikat dengan pendapatan bercukai sehingga RM100 juta pertama akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 24% dan pendapatan bercukai selebihnya akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 33% bagi tahun taksiran 2022.
Penganalisisnya, Raymond Yap berkata, unjuran untung bersih teras bagi FY22 kini dikurangkan sebanyak RM60 juta kepada RM702 juta berbanding anggaran RM762 juta sebelum ini yang sepatutnya menyaksikan peningkatan 5.5% tahun ke tahun.
"Unjuran terbaharu kami mendapati untung bersih teras bagi FY22 akan menyusut 7.7% tahun ke tahun akibat pelaksanaan cukai ini.
"Pada masa sama, anggaran pendapatan sesaham (EPS) Westports bagi FY22 juga dikurangkan sebanyak 7.5% setelah mengambil kira kadar cukai yang dikuatkuasakan daripada 24% kepada 33% bagi Cukai Makmur untuk tahun taksiran 2022," katanya dalam nota kajian pada Isnin.
Selain itu, beliau juga mendapati tidak banyak perkembangan dalam projek pembesaran Westports 2 setakat ini kerana ia memerlukan semakan selanjutnya daripada pelbagai agensi kerajaan.
Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021, Westports merekodkan untung bersih sebanyak RM199.05 juta, sedikit menurun berbanding RM203.85 juta berbanding tahun lalu.
Pendapatan juga menyusut kepada RM504.89 juta berbanding RM528.36 juta manakala EPS pula adalah 5.84 sen berbanding 5.98 sen sebelum itu.
"Kami menjangkakan Westports akan merekodkan untung bersih teras sebanyak RM179 juta pada suku keempat, sama seperti suku ketiga (RM178 juta) kerana kami berpendapat kos operasi dan bahan bakar akan terus meningkat.
"Oleh itu, ia akan menyaksikan untung bersih teras bagi FY21 lebih tinggi 7% tahun ke tahun kepada RM722 juta berbanding hasil pada separuh pertama 2020 yang terjejas akibat pandemik COVID-19," jelasnya. - DagangNews.com