CGS-CIMB kekal saranan 'pegang', TP 36 sen terhadap HPP Holdings | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB kekal saranan 'pegang', TP 36 sen terhadap HPP Holdings

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Okt - CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'pegang' ke atas HPP Holdings Berhad dengan harga sasaran (TP) 36 sen selepas menjangkakan pemulihan penuh permintaan elektrik dan elektronik (E&E) dalam jangka masa terdekat tidak mungkin berlaku.

 

Untung bersih teras kumpulan adalah sebanyak RM2.2 juta bagi suku pertama berakhir 31 Ogos 2023 (1QFY24), lebih rendah sebanyak 48.1% tahun ke tahun, dianggap sejajar dengan jangkaan.

 

Katanya, penyedia perkhidmatan pembungkusan juga mencatatkan kos input yang lebih tinggi pada 1QFY24, dengan margin keuntungan kasar jatuh kepada 23.4%, terutamanya disebabkan oleh perbezaan masa dalam pelarasan harga jualan dan pergerakan dalam kos input.

 

"Kami menjangkakan margin untung kasar akan berkembang pada suku akan datang apabila pelarasan harga jualan bermula," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Bagaimanapun, hasil kumpulan sebanyak RM19 juta pada 1QFY24 adalah di bawah jangkaan CGS-CIMB, terkesan oleh sumbangan yang lebih rendah daripada segmen kotak.

 

"Kumpulan itu merekodkan jualan yang lebih rendah kepada industri E&E pengguna selain makanan dan minuman (F&B) pada asas tahun ke tahun," katanya.

 

Segmen pembungkusan kumpulan itu, sebaliknya, menyaksikan peningkatan hasil sebanyak 55.2% pada asas suku ke suku pada 1QFY24, didorong oleh permintaan yang lebih kukuh daripada industri E&E pengguna untuk produk pembungkusan berasaskan kertas.

 

“Walaupun kami percaya pemulihan penuh permintaan pembungkusan beralun daripada industri E&E pengguna kembali ke puncak COVID-19 tidak mungkin berlaku dalam tempoh terdekat," katanya.

 

CGS-CIMB juga menjangkakan harga saham HPP akan terus disokong oleh hasil dividen sebanyak 4% (bagi FY24- FY26) dan kedudukan tunai bersih yang sihat sebanyak RM37.4 juta setakat Ogos 2023. - DagangNews.com