CGS-CIMB kekal saranan 'tambah' saham Pharmaniaga, naikkan EPS FY21-FY22 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB kekal saranan 'tambah' saham Pharmaniaga, naikkan EPS FY21-FY22

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 2 Dis - CGS CIMB mengulangi saranan 'tambah' bagi saham Pharmaniaga Bhd. dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM1. 

 

Malah, penganalisisnya, Sherman Lam Hsien Jin turut menyemak naik unjuran pendapatan sesaham (EPS) teras bagi tahun kewangan 2021 (FY21) sebanyak 4% memandangkan margin kasar dianggar lebih tinggi bagi vaksin Sinovac secara fill and finish. 

 

Ini kerana katanya, sebanyak 5 juta dos fill and finish dalam stok dijangka habis pada separuh pertama 2022 dan masih menjangkakan 2 juta dos akan dibekalkan pada suku keempat ini. 

 

"Oleh itu, dengan mengambil kira tambahan bekalan kira-kira 3 juta dos fill and finish pada separuh pertama 2022, kami menaikkan EPS teras bagi FY22 sebanyak 13%.

 

"Disebabkan hanya perubahan minimum bagi EPS teras FY23, TP kekal pada RM1," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Pharmaniaga semalam mengumumkan prestasi kewangan suku ketiga berakhir 30 September 2021, yang menyaksikan kumpulan merekodkan pendapatan sebanyak RM2.1 bilion, melonjak berbanding RM625 juta pada suku sama 2020 berikutan pertumbuhan positif merentasi perniagaan konsesi, bukan konsesi dan operasinya di Indonesia.

 

Keuntungan bersih dalam suku dikaji melonjak tinggi kepada RM50.3 juta berbanding RM1.3 juta suku sama tahun sebelumnya.

 

Perniagaan bukan konsesi menjadi pemacu utama prestasi memberangsangkan itu berikutan jualan vaksin COVID-19 Sinovac kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan sektor swasta, yang memperlihatkan kumpulan berjaya menyelesaikan penghantaran 20.4 juta dos kepada KKM dan hampir 2 juta dos kepada sektor swasta.

 

Bagaimanapun, Hsien Jin berkata, rundingan masih lagi berjalan dengan KKM bagi lanjutan konsesi selepas FY21. 

 

"Kami agak optimis dengan hasil daripada rundingan berterusan dengan kerajaan untuk melanjutkan konsesi melebihi tempoh tamat semasa pada 31 Disember 2021," tambahnya.  

 

Dalam pada itu, katanya, Pharmaniaga juga yakin jualan eksport vaksinnya akan meningkat pada bulan-bulan akan datang, memandangkan ia sedang berunding dengan beberapa negara.

 

Pada 15 November lalu, syarikat farmaseutikal ini mengumumkan memasuki pasaran vaksin antarabangsa buat julung kali dengan mengeksport kumpulan pertama vaksin Sinovac ke Myanmar. 

 

Setakat 12.10 tengah hari ini, harga saham Pharmaniaga susut 0.05 sen atau 0.61% kepada 81 sen dengan 1.56 juta saham diniagakan. - DagangNews.com