Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 18 Ogos - CGS-CIMB Research kekalkan saranan ‘tambah’ bagi saham syarikat pembinaan EITA Resources Berhad (EITA Resources) dengan sasaran harga antara RM2.36 hingga RM2.16.
“Pemulihan projek infrastruktur mega akan melonjakkan saham EITA Resources.
“Tetapi, sekiranya segmen perdagangan masih berprestasi rendah bagi tempoh masa yang panjang, maka ia akan memberi risiko kepada nilai saham EITA,” jelas laporan analisis CGS-CIMB.
3QFY9/20 menyaksikan prestasi EITA Resources teruk sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan selama sebulan bagi suku berkenaan (1 April hingga 3 Mei) berbanding dua minggu bagi suku sebelumnya.
“Keuntungan bersih kumpulan berkenaan juga merudum 34.3% berbanding suku sebelumnya dengan hasil menyusut 20.5%.
“EITA Resources tidak dapat melaksanakan aktiviti pembinaan dan penyelenggaraan ketika PKP,” kata CGS-CIMB.
Bagi suku sama, EITA Resources mengumumkan dividen sesaham (DPS) 3 sen dan kekal sama seperti suku sebelumnya.
“Kami yakin EITA Resources dapat mencapai sasaran DPS 6 sen bagi FY9/20F berdasarkan kedudukan tunai bersih yang kukuh, RM29.9 juta (23 sen/saham) setakat penghujung Jun 2020.
“Pelabur dapat menjangkakan 5% hasil FY9 / 20F pada penutupan terakhir,” tambah CGS-CIMB.
CGS-CIMB turut meningkatkan ramalan perolehan sesaham (EPS) kumpulan berkenaan sebanyak 11% didorong oleh perbelanjaan pengendalian dan susut nilai yang lebih rendah. - DagangNews.com