CGS-CIMB : Kelewatan projek Sungai Rasau boleh jejaskan prospek Taliworks | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB : Kelewatan projek Sungai Rasau boleh jejaskan prospek Taliworks

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 22 Nov - CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'tambah' terhadap Taliworks Corp. Bhd. dengan harga sasaran disemak turun kepada RM1.05 daripada RM1.07 sesaham sebelum ini selepas mengambil kira keuntungan yang lebih rendah bagi segmen pembinaan bagi 2024.

 

Firma itu turut mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) hingga FY24 antara 1 hingga 7.4%. 

 

Semakan semula itu berdasarkan kepada kerugian syarikat bersekutu yang lebih tinggi, perkembangan projek air Sungai Rasau yang perlahan dan kelemahan margin keuntungan kasar sebanyak 6 hingga 8% berbanding anggaran 8 hingga 9% sebelum ini.

 

"Kami dapati kontrak bagi pakej 2 dan 3 Sungai Rasau agak terlewat daripada jadual dan mencapai 5% siap berbanding sasaran kumpulan pada 17% menjelang akhir FY22. 

 

"Bagaimanapun, kumpulan memberi panduan, kemajuan projek ini akan kembali meningkat pada FY23," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Untung bersih Taliworks bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022 susut sehingga 69.7% kepada RM12.51 juta daripada RM41.36 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan pada suku berkenaan juga susut 10.7% kepada RM91.28 juta daripada RM102.31 juta berikutan hasil yang lebih rendah daripada segmen jalan raya bertol.

 

Penurunan hasil bagi segmen itu dikurangkan oleh sumbangan daripada segmen rawatan air, bekalan dan pengedaran, segmen pembinaan dan tenaga boleh diperbaharui.

 

Bagi tempoh sembilan bulan, keuntungan bersihnya menurun kepada RM34.14 juta berbanding RM66.31 juta yang direkodkan tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatannya meningkat kepada RM251.86 juta daripada RM229.85 juta.

 

Menurut CGS-CIMB, risiko bagi projek utama kekal terurus memandangkan kenaikan kos bahan binaan boleh dilepaskan di bawah mekanisme perbezaan harga (VOP) manakala kenaikan kos buruh hanya memberi kesan minimum kepada margin.

 

Setakat 11.54 pagi ini, harga saham Taliworks kekal tidak berubah pada 89.5 sen dengan 583,200 saham diniagakan. - DagangNews.com