CGS-CIMB kurangkan unjuran untung bersih Bumi Armada bagi FY23 sebanyak 47% susulan penutupan FPSO Kraken | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB kurangkan unjuran untung bersih Bumi Armada bagi FY23 sebanyak 47% susulan penutupan FPSO Kraken

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 6 Jun - Penutupan kapal terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) Kraken akibat kegagalan peralatan yang tidak dijangka bakal menjejas pendapatan Bumi Armada Berhad bagi tahun kewangan 2023 (FY23).

 

Tanpa panduan sama ada daripada Bumi Armada atau EnQuest, CGS-CIMB Research mendapati beberapa kesan penutupan tidak dijangka itu kepada model kewangannya, antaranya kehilangan enam bulan penerimaan tunai kadar penyewaan bot kosong (BBC) pada separuh kedua 2023 (2H23).

 

Selain itu, kumpulan itu akan kehilangan pendapatan pajakan kewangan untuk enam bulan dalam penyata pendapatan bagi FY23 dan menanggung sepenuhnya kos pembaikan dan penyelenggaraan berjumlah AS$50 juta yang dicaj ke dalam penyata tersebut.

 

Menurut firma penyelidikan itu, kesan-kesan tersebut telah mengurangkan unjuran keuntungan bersih teras FY23 kumpulan itu sebanyak 47% dan mereka menunggu makluman daripada Bumi Armada untuk memperhalusi ramalannya.

 

“Sehingga insiden ini diselesaikan, harga saham Bumi Armada tidak mungkin berprestasi. Oleh itu, kami menurunkan taraf daripada ‘tambah’ kepada ‘pegang’ dan menurunkan harga sasaran (TP) kepada 69 sen sesaham.

 

“Kami juga mengurangkan ramalan keuntungan bersih teras FY23 sebanyak 47% untuk mengambil kira kehilangan hasil sewaan serta kos pembaikan dan penyelenggaraan Kraken,” katanya dalam nota hari ini.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Jumaat lalu (2 Jun), Bumi Armada berkata FPSO Kraken yang beroperasi di North Sea untuk EnQuest, syarikat minyak persendirian UK, ditutup baru-baru ini akibat kegagalan yang tidak dijangka pada transformer pam tenggelam hidraulik (HSP).

 

Kumpulan itu berkata penutupan FPSO Kraken yang tidak dirancang akan menyebabkan ‘kesan kewangan material’, walaupun kesannya masih belum dapat dianggarkan dengan pasti.

 

Percubaan untuk memulakan semula tidak berjaya dan penutupan dan pengurangan pengeluaran pada masa hadapan akan mengurangkan tahap pendapatan BBC yang diperoleh FPSO Kraken, dan walaupun impak kewangan tidak dapat dianggarkan dengan pasti, ia mungkin berlaku, menurut BAB.

 

Sementara itu, penyelenggaraan pada 3QFY23 yang telah dirancang dibawa ke hadapan untuk mengurangkan gangguan pada masa hadapan tahun ini.

 

Saham Bumi Armada telah jatuh 12 sen atau 18.9% kepada 51.5 sen setakat pukul 10:53 pagi ini, memberikannya modal pasaran sebanyak RM3.05 bilion. -DagangNews.com