CGS-CIMB mulakan liputan terhadap DNeX dengan saranan 'tambah', TP RM1.60 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB mulakan liputan terhadap DNeX dengan saranan 'tambah', TP RM1.60

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 16 Feb - CGS-CIMB Research memulakan liputan ke atas Dagang NeXchange Bhd. (DNeX) dengan saranan 'tambah' pada harga sasaran (TP) RM1.60 sesaham. 

 

Firma itu melihat DNeX berada dalam kedudukan kukuh untuk mendapat manfaat daripada pemulihan SilTerra, disokong masalah kekurangan bekalan cip semikonduktor dan perubahan struktur kepada peranti More-than-More (MtM).

 

Ia menjangkakan DNeX akan merekodkan Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) bagi pendapatan sesaham (EPS) 3 tahun sebanyak 453% bagi tahun kewangan 2021 (FY21) hingga FY24. 

 

"Ini akan dipacu oleh harga jualan purata wafer yang lebih tinggi dan volum pengeluaran wafer yang lebih tinggi berikutan pengembangan kapasiti baharu. 

 

"Faktor lain termasuklah purata harga minyak yang lebih tinggi bagi Ping Petroleum Ltd. dan volum pengeluaran Ping yang lebih tinggi didorong program perbelanjaan modal (capex) baharu," katanya dalam nota kajian hari ini.  

 

Pada masa sama, CGS-CIMB menjangkakan SilTerra akan melabur lebih daripada RM900 juta capex bagi tempoh FY22 hingga FY24. 

 

Kumpulan juga, katanya, merancang untuk meningkatkan kapasiti lapisan topeng (untuk wafer) sebanyak 20% kepada 10 juta lapisan topeng setahun menjelang 2023. 

 

"Kami menjangkakan SilTerra akan meraih 2 perjanjian jangka panjang (LTA) pada separuh pertama 2022 yang akan menggunakan 80% daripada kapasitinya," jelasnya. 

 

Menurut firma itu, DNeX turut menikmati kadar cukai efektif yang lebih rendah memandangkan SilTerra mempunyai lebih RM12 bilion setakat Julai 2021 bagiaset cukai tertunda yang tidak diiktiraf yang boleh diimbangi dengan keuntungan masa depannya.

 

"Perlu diperhatikan bahawa kami masih belum mengambil kira sumbangan daripada platform teknologi baharu muncul seperti fotonik silikon yang menguasai ASP premium dan pengkomersialan medan minyak Avalon Ping," katanya.

 

Dalam dagangan pagi ini, saham DNeX mendahului kaunter paling aktif diniagakan di Bursa Malaysia. 

 

Harga sahamnya menokok 4 sen atau 3.54% kepada RM1.17 dengan 23.39 juta saham diniagakan. - DagangNews.com