Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 30Nov - CGS-CIMB menaikkan ramalan untung bersih Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) bagi tahun kewangan 2021 (TK21) sebanyak 25.1% dan 5% bagi tahun kewangan 2022 (TK22).
Menurutnya, ia berikutan firma penganalisis itu mengurangkan unjuran peruntukan kerugian pembiayaan (FLP) masing-masing sebanyak 48.1% bagi tahun kewangan semasa dan 23.8% bagi TK22.
Ujar CGS-CIMB, pihaknya turut menurunkan anggapan kerugian pengubahsuaian dalam TK21 daripada RM55 juta sebelum ini kepada RM34.9 juta.
"Untung bersih teras (CNP) bagi tempoh 9 bulan pertama tahun ini (9M21) adalah melebihi jangkaan kami, iaitu 89% daripada ramalan setahun penuh kami.
"Varians kepada ramalan kami terutamanya datang daripada FLP yang lebih rendah daripada jangkaan.
"Walau bagaimanapun, CNP 9M21 berada di bawah jangkaan pasaran pada 67% daripada anggaran tahun penuh konsensus Bloomberg," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.
BIMB merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat (PBZT) sebanyak RM627.8 juta bagi tempoh 9M21, meningkat 19.3% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan tersebut sebahagian besar disumbangkan oleh peruntukan bersih lebih rendah bagi pembiayaan dan pendahuluan yang terjejas.
"Kami mengunjurkan CNP sebanyak RM170.3 juta untuk suku keempat mewakili peningkatan suku ke suku sebanyak 33%, terutamanya daripada jangkaan pemulihan dalam pendapatan bukan berasaskan dana.
"Walau bagaimanapun, CNP suku tersebut akan menjadi 23.3% lebih rendah tahun ke tahun, kerana Bank Islam menikmati hapus kira bersih sebanyak RM3.5 juta dalam FLP pada suku keempat 2020 4Q20 dan kami tidak menjangka ini akan berulang pada suku akan datang," katanya. -DagangNews.com