CGS-CIMB 'neutral' terhadap langkah India kurangkan duti import minyak sawit | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB 'neutral' terhadap langkah India kurangkan duti import minyak sawit

 

 


KUALA LUMPUR 14 Okt. - Langkah kerajaan India mengurangkan duti import bagi minyak boleh dimakan, dilihat positif kepada syarikat perladangan huluan dan pemain bersepadu minyak sawit di rantau ini, menurut CGS-CIMB. 

 

Antaranya, termasuklah syarikat minyak sawit Indonesia, Astra Agro Lestari, PT Triputra Agro Persada Tbk (TAPG), First Resources Ltd (FR) manakala Malaysia pula, Genting Plantation Bhd, Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK), Hap Seng Plantations Bhd. dan IOI Plantations Bhd. 

 

Syarikat bersepadu minyak sawit yang meraih manfaat pula adalah Wilmar International, FR dan Golden Agri-Resources (Singapura). 

 

Pada masa sama, pengurangan duti itu sebanyak 16.5% kepada 8.25% berkuat kuasa 14 Oktober 2021, turut menguntungkan pengguna di negara tersebut. 

 

"Bagaimanapun, ini adalah negatif kepada peladang di India disebabkan persaingan sengit daripada minyak import boleh dimakan tetapi neutral kepada syarikat penapisan minyak sawit India," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu menganggarkan pengurangan duti import itu juga akan menyaksikan harga minyak mentah sawit yang lebih rendah di India sebanyak AS$186 (RM775) satu tan metrik. 

 

Katanya, ini secara tidak langsung akan meningkatkan permintaan bagi minyak sawit mentah di negara berkenaan.

 

"Secara dasarnya, harga rujukan minyak sawit mentah digunakan untuk mengira duti import di India yang sebelum ini ditetapkan pada AS$1,130 satu tan metrik berkuat kuasa 1 Oktober lalu. 

 

"Pengurangan 16.5% bagi duti import mencerminkan pengurangan bagi duti import minyak sawit mentah sebanyak AS$186 satu tan metrik, yang sebahagiannya dilepaskan kepada pengguna memandangkan niaga hadapan harga minyak sawit mentah (bagi Disember) meningkat RM160 satu tan metrik kepada RM5,015 satu tan metrik," jelasnya.  

 

India telah menyemak semula duti import bagi harga minyak sawit mentah buat kali keempat dan kali ketiga ia direndahkan tahun ini. 

 

Pada 2 Februari lalu, India menaikkan duti import bagi minyak sawit mentah kepada 35.75% daripada 30.25% dan kemudiannya diikuti dengan pengurangan duti import kepada 30.25% pada 30 Jun dan seterusnya kepada 24.75% pada 11 September 2021. 

 

Setelah mengambil kira semua faktor, CGS-CIMB mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor perladangan dan memilih Wilmar, FR, KLK, TAPG dan Dharma Satya Nusantara, sebagai antara syarikat perladangan di rantau ini yang berada dalam kedudukan kukuh. - DagangNews.com