CGS-CIMB : Pasaran tidak menentu, unjuran KLCI disemak turun kepada 1,484 mata | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB : Pasaran tidak menentu, unjuran KLCI disemak turun kepada 1,484 mata

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Nov - Keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang menyaksikan tiada keputusan dicapai dalam pembentukan kerajaan akan memberi kesan negatif kepada pasaran tempatan. 

 

Dalam dagangan pagi ini, indeks utama FBM KLCI susut 12.35 mata atau 0.85% kepada 1,436.97 mata berbanding penutupan Khamis pada 1,449.32 mata. Pasaran ditutup pada Jumaat sempena cuti umum untuk memberi laluan kepada proses pengundian pada Sabtu.

 

Menurut CGS-CIMB, ketidaktentuan itu disebabkan pasaran juga telah mengambil kira faktor kemenangan Barisan Nasional (BN) dan ketidakyakinan pelabur terhadap Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

 

Pada masa sama, katanya, mungkin juga terdapat kebimbangan, sama seperti pada masa lalu, tentang kerapuhan pakatan yang berpotensi disebabkan oleh ideologi mereka yang berbeza.

 

"Berdasarkan sejarah sebelum ini, apabila parti pembangkang berjaya menentang BN pada 2008 dan 2018, KLCI masing-masing jatuh 3% dan 6% sebulan selepas PRU12 dan PRU14.

 

"Dalam tempoh jangka panjang, kami positif jika kerajaan baharu mengambil langkah ke arah reformasi institusi dan politik.

 

"Oleh itu, kami mengurangkan sasaran indeks utama FBM KLCI kepada 1,484 mata bagi akhir tahun ini bagi mencerminkan ketidaktentuan politik untuk tempoh jangka pendek," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Menurutnya, jika kerajaan yang dipimpin Perikatan Nasional (PN) menerajui pentadbiran negara, ia akan memberi kesan kepada saham perbankan, perjudian dan minuman keras.

 

Sebaliknya, sektor telekomunikasi pula akan terjejas sekiranya kerajaan diterajui kepimpinan Pakatan Harapan (PH).

 

"Bagaimanapun, manifesto kedua-dua kerajaan berpotensi untuk mesra pengguna, perbelanjaan farmaseutikal dan infrastruktur di Sarawak. 

 

"Namun, kami menjangkakan turun naik pasaran saham yang ketara," katanya.

 

PRU15 menjadi saingan paling sengit pernah dihadapi negara, berakhir dengan situasi tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.

 

Daripada 220 kerusi dipertandingkan pada PRU semalam, PH memenangi 82 kerusi dan PN dengan 73 kerusi.

 

Susulan itu, Istana Negara dalam kenyataan semalam, menggesa gabungan parti-parti politik yang dipersetujui supaya mengemukakan nama seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri Ke-10 kepada Istana Negara sebelum jam 2 petang ini. - DagangNews.com