KUALA LUMPUR 14 Okt - Syarikat pemaju hartanah dijangka melancarkan lebih banyak projek baharu pada separuh kedua 2022 meskipun berdepan dengan risiko penangguhan berikutan ketidaktentuan makroekonomi.
Penganalisis CGS-CIMB Research, Ngo Siew Teng berkata, kekurangan pelancaran projek baharu menyaksikan jualan hartanah bagi syarikat pemaju di bawah liputannya susut 2% tahun ke tahun pada separuh pertama 2022.
Bagaimanapun, jualan hartanah baharu bagi tempoh itu adalah 10% lebih tinggi berbanding separuh kedua 2021 didorong pembukaan semula ekonomi.
"Kami menjangkakan pemaju di bawah liputan kami akan merekodkan agregat jualan hartanah baharu bagi tahun kewangan 2022 (FY22) sekitar paras FY21 sebanyak RM15.2 bilion, berdasarkan kepada sasaran jualan hartanah baharu FY22 yang ditetapkan oleh pemain industri.
"Kebanyakan pemaju hartanah di bawah liputan kami sedang meningkatkan pelancaran baharu pada separuh kedua ini berbanding separuh pertama susulan pembukaan semula sempadan/ekonomi dan kelulusan daripada pihak berkuasa.
"Namun begitu, pelancaran baharu ini boleh tertangguh atau terhenti bergantung persekitaran ekonomi," katanya dalam nota kajian hari ini.
Hasil kaji selidik terkini Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) membabitkan 150 ahli yang terdiri daripada pemaju perumahan menunjukkan 52% responden bercadang untuk melancarkan projek pada separuh kedua 2022.
Ia membabitkan 7,459 unit hartanah bertanah, 7,224 unit kediaman strata dan 275 unit komersial dengan harga hartanah antara RM250,001-RM500,000.
Dari segi operasi perniagaan, responden menjangkakan kos menjalankan perniagaan keseluruhan dijangka kekal tinggi pada purata 17%.
REHDA juga menjangkakan tinjauan pasaran hartanah pada separuh kedua 2022 dan separuh pertama 2023 dijangka kekal neutral, dengan belian dijangka berterusan membabitkan pembeli rumah pertama.
Siew Teng turut mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor hartanah dengan mengambil kira kenaikan kadar dasar semalaman (OPR), unit hartanah tidak terjual yang masih tinggi dan kenaikan kos pembinaan ekoran harga bahan binaan yang tinggi dan masalah buruh.
"Kaji selidik REHDA turut menunjukkan pemaju hartanah mempunyai pelancaran baharu yang lemah pada separuh pertama 2022 berbanding separuh kedua 2021. Malah, mereka juga kurang optimis terhadap prospek sektor ini," tambahnya. - DagangNews.com