CGS-CIMB Research semak turun unjuran pendapatan sesaham SKP Resources bagi FY24-FY26 sehingga 25.8% | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB Research semak turun unjuran pendapatan sesaham SKP Resources bagi FY24-FY26 sehingga 25.8%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Feb - CGS-CIMB Research menyemak turun unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY24 hingga FY26 SKP Resources Bhd antara 20.2% hingga 25.8% kesan jangkaan penurunan pendapatan sebanyak 30% daripada pelanggan utama pada FY24.

 

Katanya, anggaran penyusutan hasil itu meningkat hampir dua kali ganda berbanding 16% pada tahun sebelumnya. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, pelanggan utama kumpulan itu menyumbang antara 75% hingga 80% daripada hasil tahunannya bermula FY21 hingga FY23 dan mendapati keterlihatan pesanan telah berkurangan dengan ketara kesan pelarasan inventori serta sentimen pengguna yang lemah.

 

"Penurunan hasil daripada pelanggan utama mungkin lebih teruk daripada jangkaan pada FY24.

 

"Kami percaya keterlihatan pesanan mungkin meningkat menjelang tiga bulan pertama 2025 dengan pelancaran produk penjagaan isi rumah baharu yang boleh merangsang perbelanjaan pengguna secara positif," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kepelbagaian pelanggan baharu juga mungkin menjadi pemangkin utama kepada kumpulan kerana mereka mempunyai kapasiti pengeluaran lantai yang sedia ada sebanyak 650,000 kaki persegi di kemudahan baharunya di Senai, Johor untuk menampung projek baharu.

 

Katanya, walaupun butirannya masih belum jelas ketika ini, pihaknya berpendapat bahawa kumpulan itu mungkin mendapat manfaat daripada penempatan semula dan kepelbagaian pengeluar dari China ke Malaysia

 

"Kumpulan itu memiliki kelebihan utama seperti rekod prestasi pembuatan yang kukuh, rantaian bekalan matang dan kos tenaga kerja yang kompetitif," katanya.

 

CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) 92 sen saham.

 

Bagaimanapun katanya, kumpulan itu berdepan pelbagai risiko kehilangan bahagian pasaran daripada pelanggan utama, kelemahan sentimen pelanggan yang berpanjangan akibat pengurangan pesanan serta kenaikan kos tenaga kerja yang boleh memberi kesan kepada margin keuntungan. - DagangNews.com