CGS-CIMB Research unjur momentum jualan InNature meningkat pada 2QFY22 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB Research unjur momentum jualan InNature meningkat pada 2QFY22

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Julai - CGS-CIMB Research mengunjurkan momentum jualan InNature Berhad akan menjadi lebih baik pada 2QFY22F didorong oleh pemansuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan aktiviti 'berbelanja luar biasa'.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata, jumlah jualan kumpulan itu akan menjadi lebih lemah akibat pemulihan yang perlahan untuk kehadiran pengunjung ke cawagan yang kurang menjadi tumpuan di seluruh Malaysia (77% daripada pendapatan 1QFY22).

 

Katanya, meskipun berlaku pertambahan kehadiran pelancong kesan daripada pembukaan semula sempadan antarabangsa, firma itu mendapati bahawa pelancong yang gemar berbelanja terutama dari China dan Asia Barat tidak ramai yang hadir ke negara ini. 

 

"Keadaan akan menjadi lebih sukar dengan jangkaan jualan yang lebih lemah pada 2H22F akibat perbelanjaan pengguna yang lebih lemah daripada jangkaan, persaingan sengit dan normalisasi permintaan.

 

"Selepas mengambil kira faktor berkenaan, kami menyemak turun unjuran hasil kumpulan untuk FY22-24F sebanyak 1.4-4.1%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu menyatakan bahawa mereka mungkin menaikkan lagi purata harga jualan produknya pada akhir Jun 2022 sebanyak 7% bagi mengimbangi peningkatan kos selepas pelancaran produk baharu. 

 

Bagaimanapun, firma itu bimbang kenaikan harga boleh menyebabkan permintaan yang lebih rendah dengan mengambil kira faktor kuasa membeli yang rendah daripada pengguna pada 2H22F.

 

"Kumpulan itu sudah mula menaikkan harga jualan mereka sejak 4QFY21.

 

"Kami berpendapat keadaan itu akan menyebabkan pemampatan margin kerana ia mungkin tidak dapat menyalurkan kos sepenuhnya untuk melindungi jumlah jualan," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' untuk InNature dengan harga sasaran (TP) lebih rendah, RM0.50. - DagangNews.com