CGS-CIMB saran 'tambah' saham Bank Islam, pertumbuhan pembiayaan kumpulan semakin pulih | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB saran 'tambah' saham Bank Islam, pertumbuhan pembiayaan kumpulan semakin pulih

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 24 Jan - CGS-CIMB mengulangi saranan 'tambah' terhadap saham Bank Islam Bank Malaysia Bhd. memandangkan kumpulan perbankan itu dijangka meraih manfaat terbesar dengan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) tahun ini. 

 

Malah, firma itu turut mengekalkan harga sasarannya tidak berubah pada RM3.46 sesaham. 

 

Dalam nota kajian hari ini, penganalisisnya, Walter Ng berkata, bagi setiap kenaikan 25 mata asas OPR, akan meningkatkan anggaran untung bersih Bank Islam sekitar 7.1%. 

 

Beliau juga positif terhadap prospek bank tersebut memandangkan peratusan jumlah pembiayaan di bawah program bantuan bayaran semula telah menurun dengan ketara kepada di bawah 20% berbanding 42% pada pertengahan 2021. 

 

Katanya, ia mencerminkan peningkatan dalam kualiti aset keseluruhannya dan pengurangan tekanan terhadap nisbah pembiayaan terjejas kasar.

 

"Kami menjangkakan pertumbuhan pembiayaan Bank Islam akan bertambah baik daripada 7.1% bagi tahun kewangan 2021 (FY21) kepada 8.6% bagi FY22 hingga FY23. 

 

"Sasaran bank untuk meningkatkan peruntukan pembiayaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) daripada 3.7% setakat akhir September 2021 kepada 5% menjelang FY23 merupakan antara faktor yang menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pembiayaan bank," jelasnya. 

 

Menerusi taklimat dengan Ketua Pegawai Kewangan Bank Islam, Azizan Abd. Aziz ketika program Invest Shariah Corporate Conversation (ISCC) yang dianjurkan CGS-CIMB dan Bursa Malaysia pada 20 Januari lalu, kumpulan menjangkakan pertumbuhan pembiayaan akan kembali pulih secara berperingkat-peringkat daripada tahap pada suku ketiga 2021 kepada paras sebelum pandemik menjelang 2023. 

 

Bank itu berpandangan bahawa kelembapan dalam pertumbuhan pembiayaan daripada 10.7% pada akhir Disember 2020 kepada 3.8% pada akhir September 2021 adalah tempoh sementara yang disebabkan oleh langkah sekatan pergerakan dan permintaan kredit yang lemah di tengah-tengah lonjakan kes harian baharu COVID-19. 

 

Malah, Bank Islam berkata, ia sudah mencapai pengurangan kos sebanyak RM70 juta dalam FY21 dan menjangkakan magnitud yang sama bagi FY22. 

 

Bagi FY22, ia menjangkakan untuk mencapai sasaran nisbah kos kepada pendapatan di bawah 53% (berbanding anggaran CGS-CIMB pada 51.5%) dan turut menyasarkan nisbah tersebut akan terus bertambah baik sehingga di bawah 50% dalam tempoh 3 hingga 5 tahun lagi.  

 

Menurut Ng, potensi penarafan semula kumpulan bergantung kepada pengembangan margin faedah bersih (daripada kenaikan OPR) dan penurunan peruntukan kerugian pembiayaan bagi FY22 hingga FY23. 

 

"Ramalan pendapatan sesaham (EPS) kami bagi FY21 hingga FY23 dan harga sasaran berasaskan model diskaun dividen (DDM) sebanyak RM3.46 bagi Bank Islam juga kekal kukuh," katanya. 

 

Setakat 11.40 pagi ini, harga saham Bank Islam susut 2 sen atau 0.64% kepada RM3.12 dengan 414,100 saham diniagakan. - DagangNews.com