CGS-CIMB saran ‘tambah’ saham Kossan Rubber Industries | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB saran ‘tambah’ saham Kossan Rubber Industries


Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Okt. - CGS-CIMB Research menyarankan untuk ‘tambah’ saham syarikat pengeluar sarung tangan, Kossan Rubber Industries Berhad (KRI) dengan harga sasaran RM8.50. 

Saranan itu didorong oleh terbitan bonus 1:1 oleh KRI yang berakhir 12 Oktober lalu, diikuti terbitan 1.3 bilion saham bonus, menjadikan keseluruhan jumlah saham adalah 2.6 bilion. 

“Kami terus memilih KRI kerana prospek perolehan yang kukuh memandangkan syarikat itu menerima manfaat daripada pembekalan sektor sarung tangan, didorong pandemik COVID-19,” kata nota kajian CGS-CIMB. 

CGS-CIMB percaya terbitan bonus itu akan menambahbaik kebolehpasaran dan kecairan dagangan saham KRI.

KRI terus menyaksikan permintaan sarung tangan global yang tinggi, di mana tempahannya wujud sehingga penghujung separuh tahun pertama 2021 (1H21). 

Syarikat itu menjangkakan kekurangan sarung tangan berterusan memandangkan kes kian meningkat dan bekalan baharu pula terhad. 

“Oleh itu, KRI akan mengambil langkah agresif pada 2H20, dnegan rancangan untuk menaikkan purata harga jualan (ASP) sebanyak 25% pada suku ketiga 2020 seterusnya 45% pada suku keempat 2020. 

“Berdasarkan anggaran kami, ASP KRI akan terus ketinggalan berbanding pesaing lain walaupun selepas kenaikan yang dirancang itu,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com