CGS-CIMB saran ‘tambah’ saham Yinson | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB saran ‘tambah’ saham Yinson

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Sept. - CGS-CIMB Research menyarankan untuk ‘tambah’ saham syarikat perkhidmatan kapal floating production storage offload vessels (FPSO), Yinson Holdings Berhad dengan harga sasaran RM6.56. 

“Ramalan perolehan sesaham (EPS) pada tahun kewangan 2021 hingga 2023 dinaikkan kepada 20% hingga 36% didorong keuntungan dan hasil dalam segmen Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan, Pemasangan dan Pentauliahan (EPCIC), daripada pembinaan FPSO Marlim-2, menggunakan prinsip perakaunan pajakan kewangan,” jelas analisis CGS-CIMB. 

Keuntungan bersih Yinson pada suku kedua 2021 (2Q21) berakhir Julai lalu melonjak sehingga 144% kepada RM100.36 juta daripada RM41.14 juta pada suku sebelumnya. 

Peningkatan itu didorong oleh segmen EPCIC yang melibatkan tawaran perkhidmatan FPSO kepada firma petroleum Brazil, Petrobras.

Menurut CGS-CIMB, pajakan FPSO Helang bermula 6 Disember 2019 dan penggunaan perakaunan pajakan kewangan pada kontrak FPSO Marlim-2 turut menyumbang kepada prestasi itu.

“Menerusi pajakan FPSO Helang bermula pada 6 Disember 2019, sebahagiannya diimbangi oleh perbelanjaan faedah yang lebih tinggi kerana lebih banyak pinjaman bank diambil untuk membiayai pertumbuhan aset.

Sebab lain mendorong perolehan yang tinggi adalah penggunaan perakaunan pajakan kewangan pada kontrak FPSO Marlim-2 yang diberikan kepada Yinson pada bulan Oktober 2019 dan yang kini dalam proses pembinaan dan penukaran,” tambah CGS-CIMB. 

Dalam perkembangan lain, Yinson mendakwa bahawa firma Petrobras hampir memberikan kontrak FPSO Parque das Baleias (PDB) kepada syarikat itu dan dijangka ditandatangani pada Ogos lalu. 

Bagaimanapun, CGS-CIMB berkata, tiada perkembangan terkini berhubung perkara itu, tetapi Yinson mendakwa kontrak itu masih berlangsung memandangkan Petrobras tidak meminta untuk pembidaan semula mahupun membatalkannya. 

“Bagi FPSO Abigail-Joseph (AJ) pula, sepatutnya mencapai minyak atau gas pertama pada November 2019, tetapi ditangguh sehingga Mei atau Jun 2020 susulan infrastruktur dasar laut klien belum sedia. 

“Pandemik COVID-19 menangguhkan lagi pelaksanaan itu sehingga Oktober 2020. Model pendapatan kami telah dimulakan pada 1 November 2020.

“Ketika ini, Yinson sedang berunding dengan klien bagi pampasan penangguhan di mana sebanyak RM19.6 juta telah dimasukkan ke dalam keuntungan dan kerugian 2Q21 di bawah garis ‘pendapatan lain’,” kata CGS-CIMB. - DagangNews.com