CGS-CIMB semak turun TP, pendapatan sesaham MR DIY bagi FY22-FY23  | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB semak turun TP, pendapatan sesaham MR DIY bagi FY22-FY23 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 17 Feb - CGS-CIMB Research menyemak turun harga sasaran MR DIY Group (M) Bhd. kepada RM4.20 berbanding RM4.40 sebelum itu, sebaliknya mengekalkan saranan 'tambah' terhadap peruncit perkakas rumah terkemuka di Malaysia itu. 

 

Firma itu juga mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2022 (FY22) hingga FY23 sebanyak 5.2 hingga 7.4%. 

 

Semakan semula itu mengambil kira kos input yang lebih tinggi, kenaikan kadar pengangkutan dan jumlah kiraan stor yang lebih rendah (disebabkan tambahan stor yang lebih rendah daripada jangkaan pada 2021). 

 

Pada tahun lalu, katanya, MR DIY membuka sebanyak 166 cawangan (di bawah anggaran firma sebanyak 180 cawangan) menjadikan keseluruhan cawangan meningkat 22.6% kepada 900. 

 

"Kumpulan merancang untuk memperluaskan lagi rangkaiannya tahun ini dengan sasaran 180 cawangan baharu terutama MR DIY dan MR DIY Express. 

 

"Bagi MR Dollar dan MR Toy pula, kumpulan mengambil pendekatan lebih konservatif sekitar 10 hingga 15 cawangan baharu, ekoran persekitaran operasi yang mencabar dan margin lebih rendah daripada kedua-dua perniagaan ini," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, MR DIY mencatatkan pendapatan berjumlah RM975 juta bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, meningkat 27% berbanding suku sama 2020.

 

Pendapatan yang lebih tinggi itu didorong oleh purata jualan bulanan yang lebih tinggi bagi setiap kedai, purata saiz bakul tinggi serta sumbangan positif daripada kedai baharu.

 

Ini menyaksikan kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang lebih tinggi sebanyak RM179.1 juta untuk suku tersebut, meningkat 26% berbanding tempoh sama tahun kewangan 2020, sementara untung bersihnya pada suku itu meningkat 24%.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, MR DIY mencatatkan pendapatan kumulatif dan untung bersih masing-masing sebanyak RM3.4 bilion dan RM431.8 juta, meningkat 32% dan 28% berbanding tahun sebelumnya.

 

Menurut CGS-CIMB, walaupun peningkatan dalam kedua-dua kos input dan caj pengangkutan mencetuskan kebimbangan, tetapi MR DIY mahu mengurangkan kesan ini dengan menaikkan harga jualan dan pengurusan kos yang lebih baik.

 

"Kami mendapati MR DIY akan terus mencapai keseimbangan antara mengekalkan permintaan pengguna (kerana produknya agak anjal dari segi harga) dan memastikan marginnya kekal menguntungkan. 

 

"Oleh itu, kami berpendapat ia mungkin akan meningkatkan harga jualan purata (ASP) secara terpilih dan beransur-ansur," jelasnya.

 

Setakat 10.37 pagi ini, harga sahamnya susut 1 sen atau 0.26% kepada RM3.78 dengan 1.19 juta saham diniagakan. - DagangNews.com