CGS-CIMB turunkan sektor telekomunikasi dari Neutral kepada Underweight | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB turunkan sektor telekomunikasi dari Neutral kepada Underweight

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 25 Jan - CGS-CIMB menurunkan taraf sektor telekomunikasi daripada Neutral kepada Underweight berikutan potensi risiko penurunan pendapatan yang agak besar bagi pengendali rangkaian mudah alih (MNO).

 

Dalam nota penyelidikannya, CGS-CIMB berkata, kerajaan mungkin memutuskan pelan rangkaian pemborong tunggal (SWN) pada Februari 2022 dan jika ia meneruskan rancangan untuk mempercepatkan pelancaran 5G melalui Digital Nasional Bhd (DNB), MNO mungkin dikenakan bayaran borong minimum yang besar sebanyak RM303 juta/403 juta/432 juta/432 juta dalam FY23F/24F/25F/26F, berdasarkan tawaran komersial dan garis masa DNB untuk pelancaran tapak.

 

"Kami percaya MNO mungkin tidak dapat menjana banyak hasil mudah alih tambahan daripada 5G dalam tempoh terdekat atau pertengahan disebabkan oleh kekurangan kes penggunaan yang unik dan liputan yang masih terhad dalam beberapa tahun pertama serta penembusan peranti 5G yang akan mengambil masa untuk meningkat.

 

"Kami melihat potensi untuk aliran hasil perusahaan 5G baharu, tetapi pengkomersialan berskala luas mungkin dalam tempoh 3-5 tahun lagi. 

 

"Walaupun DNB membayar kos bagi 5G, kami berpendapat perbelanjaan MNO tidak akan turun banyak pada FY22-24F disebabkan oleh liputan/sasaran kelajuan 4G JENDELA dan trafik 4G yang masih berkembang," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Tambahnya, modal MNO berkurangan bermula daripada FY25F kerana mereka memuatkan lebih banyak trafik 4G ke rangkaian 5G DNB apabila liputan lebih meluas ldan penembusan peranti 5G lebih tinggi.

 

Ujarnya, jika senario SWN di atas menjadi kenyataan, pendapatan sesaham (EPS) teras FY22F Maxis mungkin lebih rendah sebanyak 3.6% dan lebih besar 15.0-33.4% untuk FY23-31F. 

 

"EPS teras FY22-23F yang terhasil adalah 10-19% di bawah anggaran konsensus Bloomberg semasa. 

 

"Kami berpendapat ini menunjukkan bahawa pasaran masih belum mengambil kira yuran borong 5G yang besar kepada DNB kerana kekurangan maklumat mengenai kadar dan struktur yuran setakat ini.

 

"Kami terus memilih segmen tetap kerana prospek pertumbuhan hasil yang lebih baik, persaingan yang lebih perlahan dan kurang risiko pengawalseliaan. Telekom Malaysia kekal sebagai pilihan utama syarikat telekomunikasi Malaysia kami," katanya. -DagangNews.com