KUALA LUMPUR 17 Feb - CGS-CIMB Research mengulangi saranan 'tambah' terhadap saham InNature Berhad dengan sasaran tidak berubah RM0.84 selepas menjangkakan prospek pertumbuhan syarikat itu kekal positif untuk tahun kewangan 2022 (FY22).
Firma penyelidikan itu berkata, perkembangan syarikat akan dipacu oleh jenama The Body Shop yang kukuh di pasaran selain pemulihan yang semakin stabil di semua cawangannya.
"Kebanyakan cawangannya sudah kembali beroperasi sepenuhnya di tiga negara iaitu Malaysia, Vietnam dan Kemboja.
"Selain itu, mereka juga mampu untuk memenuhi permintaan pelanggan terutama pada musim perayaan selain berlakunya peningkatan harga untuk produk jualannya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, InNature mencatatkan peningkatan keuntungan bersih bagi 4Q21 kepada RM7.8 juta menyamai pendapatan sebelum pra pandemik.
Sistem pengedaran yang pelbagai dan meluas membolehkan hasil jualan mereka melonjak kepada 28.6%, sebahagiannya dan ia dapat membantu mengurangkan kejatuhan dalam jualan fizikal di setiap cawangan.
"Bagi FY21, InNature mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM15 juta walaupun berdepan pelbagai cabaran seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penutupan beberapa cawangan namun pada pandangan kami, keuntungan itu dipacu oleh keputusan 4QFY21
"Kami percaya hasil pendapatan FY21 kumpulan merosot sebanyak 15.1% kepada RM131.9 juta berbanding syarikat lain dalam sektor penjagaan diri dan sub sektornya," katanya. - DagangNews.com